KAY Khine masih trauma dengan penderaan yang dilakukan oleh majikannya.
KAY Khine masih trauma dengan penderaan yang dilakukan oleh majikannya.
KESAN parut dan kecacatan jari menjadi bukti penderitaan yang dilalui Kay Khine.
KESAN parut dan kecacatan jari menjadi bukti penderitaan yang dilalui Kay Khine.
KAY Khine kini mencari kekuatan diri di kampung halamannya.
KAY Khine kini mencari kekuatan diri di kampung halamannya.
KEMISKINAN hidup mendesak ramai kanak-kanak dan remaja mencari pekerjaan bagi membantu keluarga.
KEMISKINAN hidup mendesak ramai kanak-kanak dan remaja mencari pekerjaan bagi membantu keluarga.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin

[email protected].

San Kay Khine merenung parut di tangannya. Jarinya yang bengkok mengingatkan dia kepada keperitan hidup selama beberapa tahun menjadi hamba kanak-kanak di Yangon, bandar terbesar yang pernah menjadi ibu kota Myanmar.

Dia antara ribuan pekerja domestik atau pembantu rumah bawah umur yang sentiasa dirundung kebimbangan dieksploitasi dan dianiaya.

Kay Khine yang berusia 17 tahun diselamatkan di sebuah kedai jahit di bandar itu, di mana dia dan seorang lagi remaja perempuan dari kampungnya menjadi pembantu rumah selama lima tahun.

Lima tahun yang dirasakan amat lama. Mana tidaknya, dalam tempoh itulah bermacam kesengsaraan yang mereka rasai.

Mereka dipukul, dicederakan dengan pisau, tidak diberi makan dan dihalang daripada tidur oleh pemilik kedai jahit dan keluarganya. Sudahlah begitu, gaji yang dibayar kepada dua remaja ini amat rendah.

Kay Khine dan rakannya antara puluhan ribu kanak-kanak dan remaja dari perkampungan miskin yang meninggalkan kampung halaman untuk menjadi pembantu rumah kepada keluarga kaya dan kelas pertengahan di bandar.

Menurut aktivis hak asasi manusia, kebanyakan buruh bawah umur ini tidak sedar risiko yang menunggu apatah lagi apabila mereka dijanjikan pekerjaan yang dapat membantu meringankan beban keluarga. Mereka terpedaya dengan janji manis orang tengah yang hanya mahu mengaut keuntungan.

Namun di negara miskin seperti Myanmar yang sistem kehakiman lebih memihak kepada golongan kaya, isu ini tidak diberi perhatian sewajarnya.

Kay Khine yang cacat jari tangan kerana dipatahkan oleh penyeludupnya, masih trauma untuk bercerita mengenai apa yang terjadi ke atas dirinya. Setiap kali ditanya, Kay Khine hanya membisikkan dia mahu tinggal di rumah.

Kisah penderitaan mereka hanya diketahui melalui rakannya, Thazin, 16, yang mahu masyarakat tahu apa yang berlaku di kedai jahit berkenaan.

“Dulu majikan menghentak seterika panas di kaki dan dahi saya. Sampai sekarang masih ada parutnya,” kata Thazin kepada wartawan AFP ketika ditemui di rumahnya di kampung, yang jauhnya beberapa jam pemanduan dari Yangon.

“Yang ini pula parut dicederakan dengan pisau kerana dia berasakan masakan saya tidak sedap, tidak menepati seleranya,” katanya sambil meletakkan jarinya di hidung.

Seperti kebanyakan buruh kanak-kanak lain, Kay Khine dan Thazin dibawa ke Yangon oleh seorang rakan sekampung dengan janji akan mencarikan mereka pekerjaan yang baik.

Dalam tempoh lima tahun itu, keluarga Kay Khine dan Thazin tidak putus asa cuba menyelamatkan mereka tetapi tidak berjaya. Dua kali keluarga datang menuntut anak masing-masing tetapi dihalang. Namun nasib menyebelahi mereka apabila seorang wartawan tempatan memberitahu perkara itu kepada suruhanjaya hak asasi manusia.

Pemilik kedai jahit dan dua anaknya yang sudah dewasa ditahan atas pelbagai tuduhan cuba menyeludup manusia.

Walaupun si penjenayah sudah ditangkap, ibu Kay Khine masih bimbang. Dia bimbang jika ahli keluarga penjenayah datang membalas dendam.

“Saya benar-benar takut. Saya tidak lalu makan dan susah hendak tidur. Sentiasa rasa bimbang,” kata Nyo Nyo Win, 32, ketika duduk di rumah mereka yang dibuat daripada buluh. Rumah yang menjadi tempat dia dan tiga anaknya berlindung.

“Mereka mengancam akan menghantar kami ke penjara dan menuduh kami mencuri,” sambungnya lagi.

Buruh tersembunyi

Ini antara isu penting yang perlu ditangani oleh kerajaan demokrasi baru Myanmar untuk membangunkan negara selepas setengah abad berada di bawah kepimpinan ketenteraan.

Menurut penganalisis risiko, Verisk Maplecroft, Myanmar menduduki tangga ketujuh terburuk dalam isu buruh kanak-kanak selepas India dan Liberia.

Berdasarkan analisis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas data bancian 2014, seorang daripada lima kanak-kanak berumur 10 hingga 17 tahun atau kira-kira 1.7 juta orang, sudah menjadi buruh.

Kebanyakannya datang daripada keluarga miskin, penduduk yang terpaksa berpindah kerana rusuhan atau perkampungan mereka dilanda bencana alam. Buruh bawah umur ini boleh dilihat di mana-mana kerana ramai yang bekerja sebagai pelayan di kedai kopi atau kafe tepi jalan atau membantu pemilik bar berniaga hingga lewat malam.

Daripada jumlah yang boleh dilihat, ada ribuan yang ‘tersembunyi’ di belakang tabir.

“Mereka inilah kumpulan yang paling lemah dan berisiko,” kata Pengarah Eksekutif Equality Myanmar, badan bukan kerajaan yang membantu buruh kanak-kanak, Aung Myo Min.

“Ramai kanak-kanak hidup dalam ketakutan. Mereka berasakan diri tidak berharga. Ramai hilang dunia kanak-kanak mereka dan yang sedihnya, ia tidak boleh diulang semula,” katanya.

Pendedahan kes penderaan yang kejam dan menyayat hati berlaku baru-baru ini secara tidak langsung menyuluh kehidupan pembantu rumah migran di Asia. Ini termasuk kes penderaan yang berlaku ke atas pembantu rumah dari Indonesia yang didera berbulan lamanya oleh majikan di Hong Kong.

Buat sementara ini, Myanmar melarang semua wanitanya bekerja di Singapura dan Hong Kong selepas kes berkenaan mendapat liputan meluas pada 2014 kerana bimbang mereka juga akan menjadi mangsa penderaan dan eksploitasi.

Bagaimanapun, keadaan dalam negara tidak banyak bezanya. Ini kerana buruh kanak-kanak tidak dilindungi oleh undang-undang dan ramai yang takut untuk membuat aduan polis.

“Terlalu banyak rasuah dalam negara ini, majikan biasanya memberi wang kepada pihak polis untuk menutup mata pada kesalahan mereka,” kata Aung Myo Min lagi.

Dalam kes Kay Khine dan Thazin, keluarga dua remaja ini mendakwa pihak polis tidak mengambil sebarang tindakan walaupun berkali-kali merayu supaya anak mereka diselamatkan.

Namun akhirnya, keluarga pemilik kedai jahit memberi pampasan sekitar RM16,546 bagi menebus kesalahan mereka.

Ibu Kay Khine berkata, dia tidak akan membenarkan anaknya keluar bekerja di tempat lain.

“Saya tidak akan hantar dia ke mana pun, saya mahu dia sentiasa ada di depan mata saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 12:38 PM