MINI Moke.
MINI Moke.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Mini Moke adalah varian kereta Mini keluaran British Motor Corporation yang direka oleh Sir Alex Issigonis.

Pada asalnya, jentera itu dihasilkan untuk kegunaan tentera Amerika Syarikat, namun saiz roda yang kecil dan ketinggian tidak menepati piawaian untuk kegunaan lasak, maka ia ditawarkan kepada orang awam berikutan penyelenggaraan rendah.

Di Malaysia ia mungkin sukar untuk dilihat di jalan raya ketika ini, tetapi kelibat model itu di Kulim, Kedah sentiasa mencuri tumpuan awam jika beraksi di jalanan.

Pemiliknya, Mohd Azhar Nawawi, 35, seorang ahli perniagaan barangan sukan di Kulim, cukup bertuah berikutan memiliki jentera berkenaan.

Ini kerana jentera yang dimiliki beberapa tahun lalu pada asalnya ‘kosong’ tanpa enjin serta pelbagai komponen turut hilang, tetapi kini tersergam indah selepas menjalani proses restorasi melebihi setahun.

Jentera keluaran tahun 1962 itu sebelum ini hanya tinggal rangka yang dibeli pada RM5,000.

Proses restorasi dilakukan di mana keseluruhan kerangka dibaik pulih semula termasuk dilengkapi pelbagai alat ganti tulen seperti lampu, jeriji hadapan, meter dan stereng yang kebanyakannya dibeli dari England.

Selepas proses baik pulih badan jentera selesai, enjin asal Mini Moke bersesaran 1,100cc mula dipasang dengan melakukan pengubahsuaian pada kotak gear dan menukar komponen lain.

Selain itu, bampar hadapan tersergam satu logo sangat unik dibuat khas kepada kenderaan lama yang lahir seangkatan Mini Moke berkenaan.

Ia juga dihiasi rim asal atau lebih dikenali sebagai rim ‘banana’ bersaiz 13 inci yang turut dibeli dari England.

Ruang kokpit sangat menarik apabila bahagian tempat duduk menggunakan kerusi binaan khas warna putih.

Jentera yang restorasi menelan belanja RM20,000 kos itu sebenarnya sudah banyak kali ditawar untuk dibeli peminat jentera unik, namun ditolak biarpun pernah satu ketika harga jentera ini pernah mencecah RM85,000.

SPESIFIKASI:

Mini Moke keluaran 1962

Enjin:

- 1,100cc

Proses baik pulih:

- Kerangka

- Lampu hadapan dan belakang asal

- Stereng dan meter kelajuan asal

- Ekzos binaan khas

- Tempat duduk binaan khas

- Rim banana 13 inci

Kelab:

- Malaysian Mini

- Moke Club

Kos restorasi:

- RM20,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2016 @ 5:01 AM