Ahmad Salim Bachok

Fenomena vape pernah menjadi tumpuan pelbagai pihak terutamanya Kementerian Kesihatan yang menentang keras aktivitinya sekitar penghujung tahun lalu. Bagaimanapun, pendedahan satu kaji selidik terhadap rokok elektronik atau vape yang disiarkan media baru-baru ini berkemungkinan besar akan memberi nafas baru kepada mereka yang terbabit dengan vape ini.

Industri yang dianggap bernilai jutaan ringgit itu pernah menjadikan rakyat negara ini bagaikan terpisah dua iaitu penentangnya yang melihat vape sebagai membahayakan kesihatan dan menyamakannya seperti rokok dan dadah yang boleh menyebabkan ketagihan, selain memberi kesan buruk kepada kesihatan.

Satu pihak lagi adalah pengguna dan pengusaha vape yang bersungguh-sungguh mempertahankannya dengan alasan ia sesuatu yang berfaedah, terutama kepada perokok tegar yang mahu berhenti merokok. Dalam kata lain, menurut mereka vape adalah alternatif kepada rokok atau satu kaedah untuk mengurangkan kebergantungan kepada rokok.

Kegilaan terhadap vape juga memberi impak kepada dunia ekonomi dan bisnes ketika itu apabila permintaan yang tinggi terhadap rokok elektronik dan cecair pelbagai perisanya itu telah melahirkan ramai usahawan segera yang menjadi pembekalnya.

Kafe atau premis khusus tempat menghisap vape turut muncul di sana sini bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan. Apa pun ‘kegilaan’ ini tidak berpanjangan apabila beberapa kerajaan negeri seperti Terengganu, Kedah, Johor, Kelantan dan Negeri Sembilan mengharamkan vape mulai 1 Januari lalu.

Kalau dulu bukan saja lelaki, terutama golongan muda dan remaja begitu selamba menghembuskan kepulan wap vape yang pelbagai aroma itu, tetapi juga wanita muda turut megah melakukan aktiviti serupa.

Kini, vape seakan-akan berkubur. Kalau ada pun, bagaikan hidup segan mati tak mahu. Hanya pengguna vape tegar yang masih bertahan.

Berbalik kepada kaji selidik vape ini, kajian selama enam bulan yang dilakukan Dr Konstantinos Farsalinos terhadap pengguna vape di negara ini menunjukkan bahawa pendirian ‘memerangi’ rokok elektronik atau vape selama ini perlu dinilai atau difikirkan semula.

Kajian Dr Konstantinos, seorang pakar jantung yang juga penyelidik di Pusat Bedah Jantung Onassis, Athens, Greece yang membabitkan 7,000 responden itu mendapati 82.6 peratus perokok yang bertukar kepada vape mendakwa mutu kesihatan diri mereka bertambah baik.

Kajian itu turut mendedahkan bahawa 91.4 peratus daripada responden turut mengaku sistem pernafasan mereka bertambah baik selepas menghisap vape, manakala 74.9 peratus berkata kualiti tidur mereka turut meningkat. Selain itu, 88 peratus mendakwa deria rasa mereka bertambah baik dan 89.5 peratus lagi memberitahu bahawa kemampuan deria hidu mereka turut meningkat.

Kaji selidik yang dibuat secara atas talian di dalam bahasa Melayu dan Inggeris membabitkan responden berusia purata 30 tahun itu turut mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya dua pertiga daripada mereka mendakwa telah berhenti merokok secara total selepas menyedut vape, manakala 27 peratus lagi telah mengurangkan pengambilan rokok dengan ketara.

Satu fakta menarik dalam kaji selidik itu turut menyatakan, kebanyakan mereka percaya akan kembali menghisap rokok semula jika tidak dibenarkan mengambil vape!

Sesungguhnya dapatan daripada kaji selidik ini perlu diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berkaitan, terutama Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa agama Islam negeri, terutama mufti yang telah mengeluarkan fatwa tertentu terhadap penggunaan rokok elektronik itu di negeri masing-masing.

Mungkin satu kajian secara tuntas dan menyeluruh perlu dilakukan semula terhadap kesahihan sama ada vape atau rokok elektronik ini memberi kesan buruk kepada penggunanya atau sebaliknya.

Dicadangkan juga satu sistem kawal selia dibuat terhadap industri vape ini, terutamanya terhadap penghasilan dan penggunaan cecair yang mudah disalahgunakan itu, terutama penggunaan bahan terlarang seperti dadah ketika menghasilkan cecair vape.

Undang-undang, peraturan dan satu bentuk kawal selia perlu diwujudkan agar kegiatan yang dikatakan boleh mengurangkan penghisap rokok ini boleh dipantau secara sistematik dan menyeluruh.

Jika dilakukan secara tersusun dan sungguh-sungguh, kita percaya kawal selia terhadap vape ini boleh menjadikannya satu industri yang menguntungkan dan menggembirakan semua pihak terutama pengguna dan usahawan vape.

Di pihak kerajaan pula, ia tentunya satu sumber baru pendapatan melalui kutipan cukai yang boleh dibuat secara telus dan cekap.

Penulis Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 9:23 AM