JULAIDAH dan Ziyad.
JULAIDAH dan Ziyad.
ZIYAD (tengah)  selalu memberi nasihat dan motivasi kepada atlet muda Kuala Lumpur.
ZIYAD (tengah) selalu memberi nasihat dan motivasi kepada atlet muda Kuala Lumpur.
ZIYAD (tengah) bergambar kenangan bersama Julaidah (kiri), guru dan  pelajar pendidikan khas SMK Seri Tasik.
ZIYAD (tengah) bergambar kenangan bersama Julaidah (kiri), guru dan pelajar pendidikan khas SMK Seri Tasik.
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Kejayaan tiga atlet paralimpik negara menyumbang emas di temasya Paralimpik Rio diharapkan mampu mencetuskan inspirasi buat golongan orang kurang upaya untuk keluar dari kepompong kehidupan biasa.

Itu harapan jurulatih yang mengesan bakat Muhammad Ziyad Zolkefli ketika bertugas sebagai guru pendidikan khas di Sekolah Menengah Seri Tasik Kuala Lumpur, Julaidah Ahmad.

Bakat Ziyad dikesan Julaidah semasa Ziyad menyertai kejohanan Olahraga Pendidikan khas di Kuala Lumpur dan beliau antara jutaan rakyat negara ini yang paling gembira ketika mengetahui Ziyad menyumbang emas untuk negara.

Lebih menyentuh hatinya apabila menerima rekod suara yang dihantar Ziyad selepas atlet berusia 26 tahun itu meraih emas dalam acara lontar peluru T20 (masalah pembelajaran).

“Terima kasih Cikgu Ju. Cikgu Ju banyak berjasa hingga saya berjaya sampai ke tahap ini. Tanpa Cikgu Ju dan cikgu-cikgu lain saya tidak sampai ke tahap ini. Terima kasih banyak-banyak.” Itu rekod suara dihantar Ziyad dari Rio kepada Julaidah selepas memenangi emas.

“That’s my Ziyad,” kata Julaidah.

Kata Julaidah, keperibadian Ziyad cukup menyenangkan. Mudah bergaul dan menghormati orang terutama dalam kalangan jurulatih dan rakan atlet membuatkan dia mudah didekati.

“Dari awal hingga kini saya melihat Ziyad sebagai atlet yang cukup berdisiplin dan tiada masalah untuk dilatih. Dia mempunyai sikap yang baik dan patut dicontohi.

“Mungkin kerana meminati sukan olahraga membuatkan dia mudah dibimbing dan mengikut segala tunjuk ajar.

“Susuk tubuhnya yang besar dan tinggi itu memberi kelebihan kepada Ziyad.

“Satu yang saya kagum mengenai Ziyad adalah semangat juangnya. ‘Ok cikgu,’ ‘saya buat cikgu’, ‘saya cuba lagi cikgu”. “Dia tidak pernah mengeluh biarpun ada ketikanya mudah putus asa. Tapi saya faham mungkin ketika itu dia masih remaja dan perlu banyak motivasi dan saya anggap semua itu sesuatu yang positif,” katanya.

Biarpun sudah lama melepaskan Ziyad untuk membolehkan atlet paralimpik negara itu mendapat pendedahan lebih luas Julaidah berkata, Ziyad sentiasa bersama dengannya.

“Hubungan kami amat baik hingga ke hari ini. Untuk Kejohanan Paralimpik Kebangsaan di Sarawak tempoh hari, dia masih bersama saya dan mewakili Wilayah Persekutuan.

“Ziyad sering membantu saya untuk memberi nasihat dan motivasi kepada adik-adik dan atlet KL yang lain.

“Saya sangat yakin empat tahun lagi dia akan terus mencipta rekod baru. Ziyad akan terus melangkah lebih jauh dan menjadi legenda negara selain meneruskan legasi sukan paralimpik dan jurulatih negara selepas bersara satu hari nanti,” katanya yang percaya Ziyad akan memecahkan rekodnya sendiri di Paralimpik Tokyo 2020.

Ziyad terpilih menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) selepas terbabit dalam Kejohanan Paralimpik Remaja Asia di Tokyo pada 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 9:03 AM