ARCHER (depan) yang juga penganjur konsert turut membuat persembahan bersama artis terbabit.
ARCHER (depan) yang juga penganjur konsert turut membuat persembahan bersama artis terbabit.
ANTARA anggota The Strollers.
ANTARA anggota The Strollers.
 NADIA diiringi pemain bass yang juga anggota asal The Boys iaitu Ayie.
NADIA diiringi pemain bass yang juga anggota asal The Boys iaitu Ayie.
FAKTOR usia bukan penghalang buat Ito untuk terus memberikan persembahan terbaik.
FAKTOR usia bukan penghalang buat Ito untuk terus memberikan persembahan terbaik.
 LORD (kanan) antara pemain gitar tempatan yang dihormati.
LORD (kanan) antara pemain gitar tempatan yang dihormati.
BLUES Gang diiktiraf MBOR sebagai Kumpulan Blues Paling Lama.
BLUES Gang diiktiraf MBOR sebagai Kumpulan Blues Paling Lama.
Ridzuan Abdul Rahman


Melihatkan pada sejarah pembabitan panjang dalam bidang muzik, tidak hairanlah konsert Return of The Legends yang menggabungkan band The Strollers, Blues Gang dan Lord & The Boys di Istana Budaya, Kuala Lumpur, Sabtu lalu berupaya menggamit kehadiran penonton.

Selain berhibur sambil mengimbas memori, rata-rata peminat berusia 40 tahun ke atas hadir menonton konsert ini sebagai tanda sokongan buat semua anggota kumpulan terbabit yang tidak pernah jemu menghambakan diri dalam bidang muzik.

Konsert anjuran N2 International Services Sdn Bhd ini dibuka dengan persembahan kumpulan Dendang Anak menampilkan pemain gitar, Ahmad Faseeh dan Steve Steel (dram).

Ramai yang terpukau menikmati petikan gitar Ahmad Faseeh menerusi lagu Janji Malam Keramat nyanyian Azmee Abdul Manap.

Selain itu, penonton turut dihiburkan dengan band generasi baru, Lukarts yang menyampaikan lagu Luka dan Matahari serta Archer dengan lagu berjudul Ne Me Quitte Pas.

Saat yang dinantikan akhirnya tiba apabila The Strollers mengambil tempat mengadakan persembahan.

Mereka tidak mengambil masa lama apabila mengusik memori penonton dengan koleksi lagu popular seperti medley We’re Gonna Have A Good Time, Here Come The Sun dan Joy To The World.

Band yang ditubuhkan pada 1965 ini kemudian menyampaikan lagu popular mereka iaitu Do What You Gotta Do dan Silly Joke.

The Strollers yang diinspirasi daripada The Beatles turut menyanyikan dua lagu kumpulan legenda itu iaitu Golden Slumber dan Eleanor Rigby. Ini termasuk lagu ‘cover’ seperti Listen To The Music (Dooby Brothers), He Aint Heavy (The Hollies) sebelum menutup persembahan dengan lagu Rock & Roll yang dipopularkan Led Zeppelin.

Faktor usia bukan penghalang buat mereka menampilkan persembahan yang hebat. Skil permainan muzik mereka berjaya memukau peminat yang hadir.

Sesuatu yang boleh dipelajari daripada kumpulan otai begini adalah semangat setia kawan yang padu. Mereka bersatu tanpa mengira bangsa dan agama.

The Strollers tidak ketinggalan mengadakan ‘tribute’ buat bekas anggota mereka, Nand Kumar yang meninggal dunia pada awal 1990-an.

Lord & The Boys tampil sebagai artis kedua mengadakan persembahan.

Kali ini, pengasasnya Ahmad Lokman Ismail atau Lord yang bertanggungjawab memperkenalkan Ella dan Shima di arena muzik tanah air menampilkan Nadia Hasnan sebagai penyanyi.

Mereka turut disertai dua anggota asal The Boys iaitu Ayie (bass) dan Satiman (keyboard).

Mengambil alih kekosongan yang ditinggalkan dua penyanyi wanita itu, Nadia berjaya menyampaikan lagu Layar Impian, Dua Insan Bercinta dan Cinta Berakhir dengan baik.

Dia turut menyampaikan lagu Hanya Secebis Jawapan, Kembali dan Andainya. Tidak ketinggalan Lord sendiri menyampaikan lagu tradisional menerusi persembahan The Wall...Joget Dikir Barat yang turut menampilkan kumpulan Dendang Anak.

The Wall...Joget Dikir Barat cukup menarik kerana ia menggabungkan lagu rock popular daripada Pink Floyd iaitu Another Brick In The Wall dengan lagu tradisional tempatan.

Langkah meletakkan Blues Gang sebagai artis terakhir sememangnya satu tindakan bijak. Peminat ternyata tidak berganjak untuk menyaksikan persembahan Blues Gang yang dianggotai Ito (penyanyi, harmonika), Julian Mokhtar (gitar), Jim Mandasamy (bass), Ghani (keyboard), Karim (dram) dan Hazizi (gitar).

Tenaga mereka ternyata luar biasa apabila menyampaikan lebih 10 lagu popular antaranya Apo Nak Dikato, Mama Saya Mahu Kahwin, Khatulistiwa, Mak Siti dan Ibu.

Sementara itu, The Strollers dan Blues Gang turut disenaraikan dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) sempena pembabitan mereka dalam bidang muzik sejak era 1960-an dan 1970-an.

The Strollers diiktiraf sebagai Kumpulan Pop Pertama Malaysia manakala Blues Gang sebagai Kumpulan Blues Paling Lama dalam MBOR.

Ketua Pengarah Istana Budaya Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pihaknya bercadang menjadikan Return of The Legends sebagai jenama baru di Istana Budaya bagi menaikkan semula nama penggiat muzik yang pernah mencipta populariti suatu ketika dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 7:54 AM