Hajahfarhana Tarmudi


Memiliki personaliti menarik malah sikapnya yang ceria dan sentiasa bertenaga membuatkan penulis tertanya-tanya rahsia kelangsingan badannya serta kekal cergas apatah lagi kami sama usia.

Adasandha Anuar ialah jurulatih kesihatan dan kecergasan. Kisahnya yang menarik membuatkan penulis terpanggil untuk menjadikan pemilik wajah manis ini berkongsi cerita untuk dijadikan panduan kepada pembaca.

Wanita berusia 30 tahun ini menyimpan kisah benar yang membuatkannya mendalami bidang kesihatan dan kecergasan hingga ke hari ini. Bersama padanan pakaian yang ceria, wajah manis ini disolek jurusolek artis Ceqta Creative Gifts, Ceiqta NgHalim tampak yakin berhadapan dengan kamera.

Penyakit dan kematian

Adasandha dibesarkan dalam keluarga sederhana. Anak sulung daripada tujuh beradik, ayahnya bergelar doktor perubatan manakala ibunya suri rumah.

Adat manusia, apabila ada majlis kelahiran suasana gembira dirasai dan begitu juga sebaliknya tatkala berhadapan kematian dalam ahli keluarga.

Sama seperti Adasandha, ketika kecil dia sering melihat kematian dan kesengsaraan dalam kalangan saudara dekatnya hinggakan dia berasa takut serta tertanya-tanya.

Lebih menyedihkan apabila ada adik saudaranya dalam lingkungan usia 20-an turut meninggal dunia disebabkan serangan sakit jantung selepas tamat belajar, baru-baru ini.

“Genetik datuk dan nenek ada semua penyakit kecuali kanser dan ia tentu mempengaruhi sehingga 10 ke 20 peratus genetik sama dalam badan kami.

“Sebutlah apa saja penyakit berangkai dan berbahaya, saya pernah mendengarnya sejak kecil. Pernah saya melihat jenazah yang tidak sempurna. Misalnya, kaki tiada kerana sudah dipotong akibat kencing manis membuatkan kami bertambah sedih.

“Hati meronta ingin tahu dan saya ajukan persoalan itu kepada ayah. Seperti biasa, ayah menjawab dengan mengaitkan makanan yang menjadi kegemaran kami sebagai kanak-kanak terutama snek ringan,” katanya.

Apabila disuakan dengan jawapan menakutkan seumpama itu dan melihat sendiri kesengsaraan mereka, sedikit sebanyak ia membuatkan hati berasa bimbang sekali gus serik untuk mengambil makanan yang tidak berkhasiat sejak kecil.

Bertambah menarik apabila ayahnya begitu mengambil berat mengenai aktiviti fizikal anak-anak ketika berada di sekolah mahupun di rumah. Ayahnya pasti bertanya di samping menggalakkan anak-anaknya aktif menyertai apa juga aktiviti di sekolah seperti bersukan, kelab ataupun persatuan.

Tiada waktu untuk duduk menonton televisyen semata-mata atau bermalas-malasan di rumah sambil menikmati snek ringan apabila hujung minggu.

“Kebiasaannya, hujung minggu kami adik-beradik dipenuhi aktiviti seperti ke kelas taekwando dan kami semua pemegang tali pinggang hitam.

“Bukan itu saja, saya juga aktif dengan olahraga dan senaman aerobik. Apabila menyambung pengajian, saya bersama dua rakan sekumpulan menjadi wakil Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam National Open Aerofit Challenge pada 2008 dan menjadi juara.

“Sejak kecil kami sudah dididik menjadi lebih berani, berdikari dan berjaya dalam hidup dengan aktiviti serta pemakanan menyihatkan.

“Didikan ayah membuatkan kami sekeluarga turut sama mementingkan kesihatan apatah lagi sering dikaitkan dengan penyakit yang menimpa keluarga terdekat,” katanya.

Ia mencetus semangat untuk dirinya agar menjaga kesihatan dengan kekal aktif dan menjaga pemakanan seharian untuk memastikan kesejahteraan yang diinginkan dimiliki hingga usia emas.

Bantu masyarakat sihat

Awalnya, Adasandha memohon menyambung pengajian dalam bidang Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) namun tidak berjaya.

Dalam pilihan yang disenaraikan borang permohonan kemasukan ke universiti, ada juga dia menyelitkan pengkhususan sains sukan walaupun ketika itu tidak memahami mengenainya secara mendalam.

“Saya percaya rezeki saya di sini. Selepas belajar, baru saya tahu pengkhususan sains sukan ini sebenarnya mengajar kita secara keseluruhan mengenai tubuh manusia.

“Kebanyakan orang menganggap bidang ini membolehkan kita menjadi guru pendidikan jasmani saja, sedangkan cabangnya sangat luas. Kita boleh menjadi jurulatih sukan atau kecergasan secara profesional dan mampu memperoleh pendapatan tinggi.

“Bagi saya, pilihan di tangan kita sendiri berdasarkan tujuan atau matlamat yang diinginkan jika kita menceburi cabang yang diminati itu,” katanya.

Jelasnya, dia boleh memilih untuk menjadi jurulatih profesional secara persendirian untuk mendapatkan pendapatan lumayan ataupun lebih glamor, namun itu bukan yang diinginkan.

Baginya, biarlah dia tidak terlalu menonjol asalkan dapat membantu masyarakat hidup secara sihat. Hakikatnya, dia mahu memberi kesedaran kepada masyarakat untuk menjaga kesihatan dengan melakukan senaman dan mengawal pengambilan makanan sihat.

Justeru, dia tidak teragak-agak untuk memberi khidmat kepada masyarakat yang memerlukan bantuannya bagi mengembalikan kesihatan badan terutama kepada individu yang mengalami penyakit tertentu.

“Banyak cara saya gunakan secara kreatif dengan kos murah untuk memastikan program yang dijalankan benar-benar memberi kesan kepada peserta sepanjang masa dan bukan ‘hangat-hangat tahi ayam’ saja.

“Terbaru, saya ada membuat program secara dalam talian bersama peserta terutama bagi individu yang jauh dari Kuala Lumpur. Biasanya saya memberi panduan menerusi e-mel.

“Peserta perlu melakukan dengan bersungguh-sungguh setiap panduan yang diberikan untuk mendapatkan kesan yang diinginkan. Panduan senaman dan pemakanan (secara umum) akan diberikan supaya peserta mampu memilih makanan yang sesuai secara berdikari.

“Jika tidak patuh terhadap panduan yang diberikan, peserta diberikan ‘denda’ berbentuk senaman seperti burpees untuk menggalakkan mereka lebih serius menjaga kesihatan serta mencapai kejayaan,” katanya.

Selain menjadi jurulatih kesihatan dan kecergasan, dia juga dilantik sebagai tutor sebuah universiti untuk berkongsi pengalaman serta panduan kepada pelajar perubatan bagi memberi ilmu apabila berhadapan dengan pesakit.

Amalan sihat

“Semua orang mempunyai masa yang sama, tidak ada sesiapa pun yang memiliki waktu yang lebih atau kurang walau sesaat. Jika kita tidak menjaga kesihatan sendiri, satu masa nanti kita perlu adakan masa untuk ke hospital dan mengeluarkan kos perubatan yang bukan murah harganya,”katanya.

Justeru, dia sentiasa memastikan tubuhnya sentiasa sihat dengan mengamalkan gaya hidup yang seimbang agar dapat mengekalkan kesihatan badan sepanjang masa.

Baginya, mencegah lebih baik daripada merawat. Adasandha akui dia amalkan ‘bangun pagi’ setiap hari untuk melakukan senaman sebelum ke kelas latihan mengajar.

Seawal jam 5 pagi setiap hari bangkit tidur sebelum berjoging di dalam air seminggu sekali untuk menguatkan otot kakinya kerana dia banyak menggunakan tenaga atau gerakan di bahagian berkenaan saban hari.

“Bayangkan saya perlu menghadiri tiga ke empat kelas zumba, aerobik atau program bersama syarikat korporat dalam sehari dan disebabkan itu, saya perlu melakukan latihan senaman untuk menjaga kecergasan badan.

“Selain senaman, saya turut ‘mewajibkan’ sarapan dan makan malam setiap hari. Kebiasaannya, apabila waktu tengah hari saya lebih suka menikmati buah segar saja untuk mengisi perut.

“Bukan itu saja, saya juga amalkan tidur sebentar sebelum waktu solat Zuhur atau antara jam 12 tengah hari hingga 3 petang untuk membantu mengecas badan yang letih,” katanya.

Ujarnya, amalan berkenaan ditambah dengan tidur pada waktu malam membantu tubuh membakar lemak sehingga kira-kira 70 kalori (untuk berat badan anggaran 68 kilogram).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2016 @ 2:06 PM