WEE Wern (depan) sumbang mata kemenangan negara.
WEE Wern (depan) sumbang mata kemenangan negara.

Kuala Lumpur: Pasukan skuasy negara tidak berdepan laluan sukar dan mara mudah ke final Kejohanan Skuasy Universiti Dunia Berpasukan (WUSC) selepas menewaskan Afrika Selatan 2-0 semalam.

Aksi separuh akhir yang berlangsung di Pusat Skuasy Nasional itu menyaksikan Ivan Yuen yang turun sebagai perseorangan lelaki menyumbang mata pertama negara apabila melakar kemenangan 11-3, 11-6, 10-12, 11-6 ke atas Kyle Maree.

Pemenang emas kategori individu wanita Low Wee Wern menyumbang mata kemenangan Malaysia sekali gus mengesahkan tiket ke perlawanan akhir apabila menewaskan Alexa Pienaar 11-6, 11-5, 11-2 dalam tempoh 24 minit.

Kelebihan 2-0 itu menyaksikan perlawanan ketiga membabitkan perseorangan lelaki kedua, Addeen Idrakie Bahtiar yang dijadualkan menentang Daniel Smith tidak diteruskan.

“Perlawanan yang menarik menentang Maree. Saya sengaja mengambil mudah set ketiga bagi membolehkan dia mengambil kesempatan namun gembira dapat kembali bangkit untuk menang set keempat,” katanya.

Malaysia akan menentang pilihan pertama kejohanan, Hong Kong di pentas akhir selepas pasukan itu menewaskan Jepun 2-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Sementara itu, Wee Wern berkata, kemenangan ke atas Afrika Selatan mampu merangsang skuad negara menjelang pertarungan menentang Hong Kong nanti.

Pemain berusia 26 tahun itu sekali lagi dijangka bertemu Tong Tsz Wing - lawan yang ditewaskan di pentas akhir acara perseorangan minggu lalu.

“Saya menewaskan Tsz Wing 3-1 sebelum ini dan saya pasti dia akan memperbaiki corak permainannya. Justeru, saya menjangkakan pertembungan kali ini pasti sukar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2016 @ 5:05 AM