GOTONG-ROYONG membersihkan tanah perkuburan berhampiran masjid antara acara utama program.
GOTONG-ROYONG membersihkan tanah perkuburan berhampiran masjid antara acara utama program.
PESERTA berkonvoi bangga sambil mengibarkan Jalur Gemilang ke destinasi di masjid Kampung Sumpitan, Lenggong.
PESERTA berkonvoi bangga sambil mengibarkan Jalur Gemilang ke destinasi di masjid Kampung Sumpitan, Lenggong.
D J Dolasoh


Semangat patriotik dan minda terbuka wajar dipupuk kerana ia mampu melahirkan ‘pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara’. Atas kesedaran inilah, pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad (SMKDA) Lenggong, Perak menerapkan nilai murni ini melalui Konvoi Amal Merdeka (KAM) sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Negara di Masjid Ubudiah, Kampung Sumpitan, Lenggong baru-baru ini.

Program Konvoi Amal Merdeka dengan 42 motosikal sejauh tujuh kilometer julung kali dianjurkan Unit Kokurikulun SMKDA turut disertai Penolong Kanan Kokurikulum, Zubaidah Mohd Yasin dan Ketua Kampung Sumpitan, Zulkaple Ramli.

Konvoi sejauh tujuh kilometer

Menurut Pengetua SMKDA, Nordin Kamaruddin, pihaknya memilih 150 pelajar sekolah itu dari tingkatan dua hingga prauniversiti yang berupaya melaksanakan amal bakti dengan bergotong-royong membersihkan bangunan masjid dan tanah perkuburan berhampiran.

Katanya, pelajar yang memiliki lesen motosikal menunggang secara konvoi diiringi kereta peronda polis trafik ke destinasi itu sejauh tujuh kilometer sambil mengibarkan Jalur Gemilang manakala sebahagian peserta lagi menaiki kereta guru.

“Ini program KAM yang pertama, yang diharapkan dapat dimanfaat pelajar untuk beramal dengan membersihkan bangunan masjid dan tanah perkuburan bagi menanam rasa tanggungjawab sosial dan ikhlas dalam kalangan generasi muda.

“Program diadakan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan ini bersesuaian kerana ia sekali gus menanam semangat patriotik supaya sifat sayangkan negara dan bangsa dalam kalangan generasi muda lebih tinggi,” katanya.

Selepas gotong-royong, peserta menunaikan solat Asar berjemaah di masjid itu diikuti ceramah bertemakan kemerdekaan dan penyampaian sumbangan barangan makanan kepada 30 pelajar miskin yang menyertai program itu.

Sementara itu, Zulkaple, 59, berkata pihaknya berbesar hati atas kesudian pihak sekolah dan pelajar kerana sanggup membuat kerja amal sempena bulan kemerdekaan ini.

“Memang peserta tekun bergotong-royong membersihkan tanah perkuburan di kampung ini serta bangunan masjid dengan ikhlas atas permintaan pihak sekolah sendiri dan kami menerimanya dengan tangan terbuka.

“Sebagai Ketua Kampung, saya amat berterima kasih dan ini mungkin hadiah untuk saya yang lahir pada tarikh negara merdeka 31 Ogos 1957 dan sekali gus berasa bangga kerana masih ramai golongan muda sanggup menjayakan program seperti ini,” katanya.

Seronok dapat curah bakti

Peserta, Afiff Hazrin Mohd Tajri berkata, dia berasa seronok dipilih sekolah untuk menyertai KAM itu kerana dapat berbakti terutama kepada aktiviti bermanfaat pada masyarakat.

“Saya pernah menyertai gotong-royong seperti ini dulu tetapi bukan bersempena sambutan kemerdekaan. Justeru, saya berasa amat bertuah dan bangga dapat mencurahkan khidmat di pusat ibadat seperti ini,” katanya.

Bagi Norfatinaf Yunus, pengalaman pertamanya itu sangat berharga kerana bukan saja dapat melakukan kerja amal soleh tetapi juga berasa tenang dan seronok kerana melakukan bersama rakan-rakan.

“Saya turut mengelap cermin masjid, menyapu di bahagian tepinya, membersih almari serta melipat semula telekung dan sejadah. Keikhlasan berbakti ini menyebabkan saya berasa puas,” katanya.

Input berguna

Bagi Muhammad Nur Arif Abdul Ghaffar, meskipun sudah setahun habis belajar dari sekolah itu tetapi tetap berasa terpanggil menyertai gotong-royong anjuran sekolah selepas mengetahui program KAM itu diadakan.

“Pada mulanya saya bimbang tidak akan diterima pihak sekolah untuk menyertai kerja amal sempena merdeka ini tetapi apabila guru mengizinkan, saya tidak melepaskan peluang ini untuk sama-sama membersihkan tanah perkuburan berkenaan,” katanya.

Nurhafiza Mohd Azmi pula yakin kerja amal itu memberi input yang berguna kepada dia dan rakan lain terutama diadakan bersempena sambutan bulan kemerdekaan yang sekaligus menanam semangat patriotik dan ikhlas melakukan amal.

Saya melakukan semua kerja di dalam bangunan masjid termasuk menyapu di bahagian atas dan memastikan tiada kawasan yang tidak dibersihkan supaya kariah dapat bersolat jemaah dan melakukan aktiviti keagamaan dengan lebih kondusif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2016 @ 5:03 AM