SAGNA
SAGNA
Reuters

3Manchester, England: Pemain pertahanan Bacary Sagna menyatakan dia cergas untuk bermain buat Manchester City bagi aksi jiran setempat Liga Perdana menentang Manchester United malam esok selepas mengalami kecederaan hamstring bulan lalu.

Pemain Perancis berusia 33 tahun itu, yang tampil pada aksi pembukaan City dalam liga musim ini menentang Sunderland bulan lalu, terlepas dua perlawanan terakhir kelab itu namun berharap menjadi sebahagian daripada perancangan pengurus Pep Guardiola bagi pertembungan di Old Trafford.

“Saya berasa bagus. Saya perlu berehat sedikit kerana ada koyak kecil di bahagian hamstring,” kata Sagna.

“Saya mempunyai musim yang panjang tahun lalu, jadi saya perlu menjaga badan saya, tapi hari ini saya berasa hebat.

“Saya tidak sabar menanti Sabtu. Saya akan memberikan sehabis mungkin dalam sesi latihan untuk berasa cergas kemudian pengurus mungkin akan melakukan pemilihan.”

Sagna percaya City mempunyai pengalaman untuk mengawal perlawanan itu.

“Kami akan cuba menguasai permainan. Setiap hari kami belajar lebih banyak lagi tapi kami fokus dengan tugas yang dihadapi,” ujar Sagna.

“Kami perlu melalui perlawanan seperti Sabtu ini, bersaing dalam setiap perlawanan. Sebagai pemain kami perlu memberikan yang terbaik. Ada saingan sihat dalam kalangan kami.”

City menduduki tangga teratas di depan United menerusi perbezaan gol selepas kedua-dua pasukan menang tiga aksi pertama liga mereka. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2016 @ 8:11 AM