ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran tadika. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran tadika. FOTO ihsan Bomba
Azahar Hashim


TADIKA swasta dalam tokong Cina di Jalan Sungai, Lunas, Kulim hampir musnah dalam kebakaran, 12.40 tengah malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Yusri Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.43 tengah malam dan bergegas ke tempat kejadian bersama dua jentera pemadam api, jentera Perkhidmatan Bantuan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan 11 anggota.

Katanya, pihaknya turut dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech dengan kekuatan sebuah jentera pemadam api bersama enam anggota.

"Kami juga dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lunas, PBS Juru, PBS Sungai Puyu, PBS Sungai Petani dengan anggota keseluruhan 57 orang dalam operasi memadam kebakaran itu.

"Sebaik tiba di tempat kejadian usaha memadam kebakaran dijalankan.

"Kebakaran membabitkan 90 peratus bangunan tadika dan tiada mangsa yang terbabit.

"Operasi tamat 2.55 pagi dan setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat,"katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 10:58 AM