RAWATAN rambut gugur dan berkelemumur membantu mengatasi masalah rambut secara berterusan.
RAWATAN rambut gugur dan berkelemumur membantu mengatasi masalah rambut secara berterusan.
PENYENTAL kopi mampu melembutkan kulit badan.
PENYENTAL kopi mampu melembutkan kulit badan.
Siti Zarinah Sahib

Seharian di pejabat terdedah kepada sejuk pendingin hawa, kemudian terkena pancaran cahaya matahari di luar menyebabkan badan menjadi lemah dan lesu. Apabila pulang ke rumah perlu pula menyelesaikan urusan rumah tangga sehingga ada kalanya tidak sempat membelek wajah di cermin.

Lantaran terlalu penat akhirnya tertidur dalam keadaan fizikal dan mental yang tertekan. Rutin yang sama berulang setiap hari. Tanpa sedar wanita terlupa untuk memanjakan diri dek masa terlalu padat.

“Jangan begitu, kerana sesibuk mana sekalipun wanita harus menyediakan ruang untuk memanjakan diri sendiri. Badan memerlukan rehat sepenuhnya. Seboleh-bolehnya cari masa sesuai untuk mendapatkan rawatan badan di spa,” demikian menurut pemilik Imaleen Beauty Studio, Norehan Harun.

Jelas Norehan, kecantikan terpancar menerusi keceriaan hati. Badan yang sihat pula akan mempamerkan aura dalaman yang memberikan rasa tenang dan segar. Bermula dari hujung rambut hingga kaki, wanita harus menjaga penampilan mereka. Ramai tidak sedar tekanan menyebabkan rambut beruban biarpun usia belum mencecah 40-an. Jika dibiarkan dan tidak dirawat, ia menyebabkan masalah semakin bertambah seperti rambut gugur, berminyak dan berkelemumur.

“Sebab itu, kami menyediakan rawatan rambut menggunakan pewarna rambut asli iaitu inai. Gabungan moden dan bahan tradisional seperti gel aloe vera, limau purut dan daun lidah buaya dapat menyubur dan menguatkan akar rambut. Untuk yang ingin mewarnakan rambut turut disediakan inai tradisional yang turut menyejukkan kulit kepala dan menguatkan folikel rambut,” katanya.

Untuk mewarnakan rambut bergantung kepada jenis rambut wanita sama ada halus atau kasar kerana jenis rambut akan mempengaruhi warna yang dihasilkan. Sebab itu ia perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi mendapatkan kesan memuaskan.

Inai biasanya tahan selama tiga bulan saja selepas itu perlu dilakukan semula. Selain inai, Imaleen Beauty Studio turut menyediakan pewarna rambut halal seperti coklat gelap, coklat dan hitam.

Penyental kopi buang selulit Terkenal dengan penyental berasaskan kopi, jelas Norehan, wanita berkerjaya dan sudah berkahwin sebaiknya melakukan sentalan badan bagi menghilangkan selulit.

Kopi dicampur dengan minyak ginseng bagi memberikan aura haruman sebelum digosok ke seluruh badan pelanggan. Kopi kasar ini bertindak memecahkan selulit dan melembutkan kulit. Rawatan dilakukan selama satu jam untuk mendapatkan kesan maksimum.

“Selepas selesai, saya menasihatkan pelanggan melakukan sauna selama 15 minit bagi memecahkan lemak dalam badan. Peluh mengalir laju manakala pengaliran darah lancar menjadikan tubuh lebih segar dan sihat. Bagi pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga mereka dinasihatkan mandi bunga atau susu untuk menaikkan seri wajah. Selepas 30 minit berendam rasai perbezaannya. Bukan saja pada kulit tetapi dalaman yang terpancar menerusi wajah,” katanya yang beroperasi di Bangi Sentral, Bangi.

Paling penting sebulan sekali atau dua minggu sekali wanita harus mendapatkan urutan badan bagi menghilangkan keletihan dan melancarkan perjalanan darah. Kebanyakan wanita merasakan urutan hanya perlu dilakukan selepas bersalin tetapi sebenarnya tidak. Amalan berurut menjadi tradisi sejak zaman berzaman. Ia memberikan banyak kebaikan.

“Antaranya dapat melembutkan kulit, melancarkan pengaliran darah serta memecahkan lemak pada bahagian tertentu. Urutan yang dikenakan ke atas titik tumpu turut memberikan kelegaan mental dan emosi. Jiwa lebih tenang disebabkan darah mengalir lancar ke seluruh anggota badan,” katanya yang turut menyediakan rawatan kuku kaki dan tangan kepada pelanggan.

Imaleen Beauty Studio ibarat pusat sehenti yang menyediakan semua keperluan wanita dari hujung rambut hingga kaki.

Terkenal dengan pakej rawatan rambut secara eksklusif, Norehan menyedari kebanyakan wanita menghadapi masalah rambut gugur, berminyak dan berkelemumur disebabkan pemakaian tudung dan penjagaan yang tidak teratur. Akibatnya rambut kehilangan mineral asli dan menjadi kering. Ditambah pula gaya hidup tidak sihat dan pemakanan yang tidak dijaga menjadikan masalah rambut bertambah teruk.

“Ada pelanggan mengalami kelemumur yang teruk sehingga berkeping-keping, ada pula wanita yang baru saja melahirkan anak mengalami rambut gugur biarpun selepas anak berusia setahun, ada pula rambut berminyak sehingga menyebabkan berbau busuk.

“Masalah yang mengganggu wanita ini menyebabkan saya menyediakan penyelesaian untuk mereka dengan syarat mereka harus datang mendapatkan rawatan. Biasanya kami mengenal pasti setiap masalah sebelum memberikan rawatan sesuai.

“Rambut ialah mahkota wanita, biarpun dilindungi tudung dan selendang, ia tetap harus diberikan penjagaan sepenuhnya. Bukan dengan hanya bersyampu semata-mata kerana ada wanita yang mengalami masalah kulit kepala disebabkan sering bertukar syampu atau memakai syampu yang tidak sesuai. Sebab itu sebelum menjadi teruk mereka dinasihatkan jangan malu mendapatkan rawatan,” katanya.

Dibuka setiap hari kecuali Selasa dari jam 10 pagi hingga 8 malam, pelanggan boleh datang secara terus atau membuat temu janji terlebih dulu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 5:21 AM