BERGAMBAR bersama rakan sekuliah.
BERGAMBAR bersama rakan sekuliah.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Noorafifah Mohd Noor, 26, kini sedang mengikuti pengajian Sarjana Sains (MSc) Medical Humanities di King’s College, London.

Beliau yang sebelum ini mendapat Ijazah Sarjana Muda Biomedical Science dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sudi berkongsi pengalamannya mengenai sistem pengajian tinggi di United Kingdom (UK) kepada pembaca BESTARI.

Boleh ceritakan pengalaman belajar di UK?

Pertama, kursus sarjana yang saya ikuti sangat berbeza daripada pengajian peringkat ijazah sarjana muda dulu. Jika dulu, saya menjalankan eksperimen dan teori biomedikal sains, program MSc Medical Humanities lebih ke arah sastera berunsur perubatan.

Ini bermakna lebih banyak kesusasteraan dan kajian.

Sistem pendidikan di UK me­ngajar saya menjadi lebih berdikari dalam mengejar ilmu. Di London, akses ilmu bukan saja di perpustakaan universiti, tapi juga di perpustakaan lain seperti British Library serta perpustakaan universiti lain.

Selain itu, banyak peluang untuk menimba ilmu di luar kelas, selain aktiviti menarik yang boleh di sertai di sini.

Terangkan sistem pengajian di UK.

Subjek yang saya ambil semuanya berasaskan kerja kursus (assignment-based). Pada awal semester, saya diberi senarai bahan bacaan seperti buku, jurnal dan artikel untuk kegunaan sepanjang pengajian semester itu. Kuliah pula berdasarkan diskusi. Saya perlu baca buku teks untuk minggu berkenaan dan dibawa ke kelas untuk dibincangkan.

Saya boleh katakan semua sistem pengajiannya berasaskan kerja kursus kerana saya perlu menulis esei dan hantar pada akhir semester. Tajuk esei bebas dan boleh dipilih sendiri asalkan ada kaitan dengan tema kuliah.

Jika Noorafifah banding­kan pengalaman belajar di Malaysia dengan UK, yang mana satu jadi pilihan?

Susah untuk dibuat perbandingan kerana kedua-dua kursus pengajian di Malaysia dulu dan sekarang di UK adalah berbeza. Namun, di UK memang seronok kerana pelajar digalak aktif dan mengambil bahagian dalam semua kegiatan dan banyak sumber.

Pelajar turut digalak menjadi lebih kreatif dan berfikiran kritikal. Contohnya, semua jawapan adalah betul jika beri bukti kukuh untuk menyokongnya.

Bagaimana pula dengan suasana pengajian seperti bilik kuliah, pensyarah dan aktiviti lain?

Sebagai pelajar sarjana, kami digalak lebih berdikari. Rakan sekelas pula berbeza umur, bangsa dan latar belakang. Jadi perbincangan menjadi lebih menarik kerana masing-masing memberi pendapat berbeza.

Seorang pensyarah saya adalah pengkritik sastera terkemuka dan seorang hakim untuk ‘Man Booker Prize 2016’. Begitupun, di dalam dewan kuliah beliau merendah diri dan menggalakkan semua pelajar berpegang teguh kepada pendapat sendiri. Beliau juga gemar berjumpa pelajar untuk perbincangan di luar kuliah seperti di kedai kopi.

Saya tiada banyak kelas, jadi untuk menambahkan pengalaman dan kenalan, saya aktif dalam aktiviti di luar kelas. Contohnya saya minat sajak, jadi saya turut serta dalam beberapa beng­kel untuk mempersembahkan sajak secara lisan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 5:25 AM