NAIM Mohamad. FOTO arkib NSTP
NAIM Mohamad. FOTO arkib NSTP
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Selang beberapa hari kejayaan Azizulhasni Awang melakar sejarah memenangi gangsa di Olimpik Rio, arena berbasikal negara dikejutkan dengan peletakan jawatan Datuk Naim Mohamad sebagai Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Perkembangan itu disahkan Setiausaha Agung PKBM Ibrahim Mustapa.

"Sebelum mesyuarat Ahli Majlis PKBM semalam, beliau menghantar surat peletakan jawatan menerusi e-mail.

"Beliau memberikan alasan kesihatan untuk berundur. Ahli Majlis bersetuju menerima surat peletakan jawatan itu," kata Ibrahim ketika dihubungi, hari ini.

Keputusan itu menyaksikan Naim turut melepaskan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Trek serta Cycling For All (CFA) PKBM.

Tugas Timbalan Presiden kini dipangku Naib Presiden, Amrun Misnoh.

Sejak berkecimpung dalam sukan berbasikal 30 tahun lalu, Naim antara individu penting dalam merencanakan perancangan berbasikal trek negara sehingga melahirkan jaguh di pentas dunia seperti Azizulhasni, Fatehah Mustapa dan Rizal Tisin.

Beliau mempertahankan jawatan nombor dua PKBM pada pemilihan ke-26 tahun lalu bagi penggal 2015-2017.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2016 @ 10:47 AM