myMetro

Kuala Lumpur: Enam lembu dan seekor kambing disembelih dalam program korban The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) 2016 di Balai Berita, di sini, semalam.

Daging korban itu diagihkan kepada golongan ibu tunggal, anak yatim, orang buta dan dua pertubuhan maahad tahfiz di sekitar Lembah Klang.

Program anjuran Badan Khairat NSTP itu membabitkan 50 kakitangan serta sukarelawan.

Pengerusi Badan Khairat NSTP merangkap Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar berkata, ibadat korban itu adalah program tahunan yang dianjurkan sempena Aidiladha.

“Seperti tahun sebelumnya, kami bergotong-royong melapah daging bersama kakitangan dan sukarelawan selain memasak hidangan tengah hari untuk tetamu termasuk ibu tunggal, anak yatim dan pelajar tahfiz.

“Selain mengagihkan daging korban, kami turut memberi duit raya kepada penerima sumbangan,” katanya ketika ditemui dalam majlis itu, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Mohammad Azlan Abdullah, Pengurus Besar Kumpulan GMS Media Prima, Abdul Wahab Mohamad dan Timbalan Pengerusi Badan Khairat NSTP, Roslan Ibrahim.

Guru Maahad Tahfiz Darul Furqan, Ustaz Asef Saifudin Talmad berkata, pihaknya turut melaksanakan ibadat korban dan agihan daging yang diterima di NSTP digunakan untuk hidangan kepada 500 pelajar maahad tahfiz.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 9:18 AM
 Kakitangan dan sukarelawan NSTP melapah daging korban untuk diagihkan kepada penerima.
Kakitangan dan sukarelawan NSTP melapah daging korban untuk diagihkan kepada penerima.
Mustapa (dari kiri), Azlan, Abdul Wahab dan Roslan memberi sumbangan daging korban dan duit raya kepada ibu tunggal sempena Program Korban NSTP 2016, semalam.
Mustapa (dari kiri), Azlan, Abdul Wahab dan Roslan memberi sumbangan daging korban dan duit raya kepada ibu tunggal sempena Program Korban NSTP 2016, semalam.