FOTO arkib NSTP
FOTO arkib NSTP
Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menjalankan Kajian Semula Persempadanan bagi bahagian pilihan raya negeri Sabah berlandaskan prinsip yang terkandung dalam Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, pihaknya perlu menjalankan kajian semula bagi memastikan setiap tambahan kerusi diwakili oleh ahli yang dipilih di setiap bahagian pilihan raya sama seperti kajian semula negeri Sarawak sebelum ini.

"Kita akan memulakan urusan Kajian Semula Persempadanan ini selepas pindaan Perlembagaan Negeri Sabah dikuatkuasakan.

"Sebaik sahaja notis kajian semula dikeluarkan, SPR perlu menyiapkan kajian terbabit dalam tempoh tidak melebihi dua tahun dari tarikh bermulanya kajian itu.

Katanya, Bahagian Pilihan Raya yang baru akan dapat digunapakai dalam sesuatu pilihan raya sekiranya segala urusan Kajian Semula Persempadanan selesai dilaksanakan.

Semalam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2016 bagi menambah bilangan ahli dipilih bagi menganggotai DUN daripada 60 kepada 73 kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 9:51 PM