PEMINAT gempar apabila wanita dikatakan isterinya dakwa ditinggalkan tanpa sebab.
PEMINAT gempar apabila wanita dikatakan isterinya dakwa ditinggalkan tanpa sebab.
Amirul Haswendy Ashari


Pelakon Park Yoo Hwan disaman dengan dakwaan berpisah tanpa persetujuan bersama wanita yang dikatakan isterinya.

Sebelum ini, Yoo Hwan yang juga adik anggota JYJ, Park Yoo chun, dipercayai berkahwin dengan wanita itu secara perkahwinan common-law dan tidak didaftarkan di mana-mana pejabat pendaftar perkahwinan.

Dalam maklum balas saman yang secara rasmi difailkan Mahkamah Keluarga Seoul pada Mei lalu, agensi mewakili Park Yoo Hwan, C-Jes Entertainment berkata, saman itu ialah kes saman sivil.

“Kebenaran akan terbukti di mahkamah nanti,” kata wakil agensi.

Kata mereka, agensi akan memberi kenyataan mengenai kes ini selepas mahkamah membuat keputusan.

“Kami akan lakukan segala yang terbaik menghalang sebarang kenyataan atau laporan tidak berasas selama sidang mahkamah berlangsung.

“Kenyataan rasmi akan dikeluarkan selepas kes selesai. Pihak plaintif ialah orang awam dan perincian situasi menyentuh isu hubungan peribadi. Jadi, kami memohon pihak media tidak melakukan sebarang spekulasi,” kata agensi lagi.

Laporan sebelum ini mengatakan wanita itu mendakwa Yoo Hwan mengakhiri perkahwinan mereka tanpa persetujuan kedua-dua pihak dan disebabkan tidak dapat terima hakikat ditinggalkan, dia meminta Yoo Hwan membayar ganti rugi.

Perkahwinan common-law ialah perkahwinan yang tidak berdaftar secara rasmi tetapi pasangan tetap hidup bersama seperti pasangan berkahwin dalam semua aspek.

Untuk dianggap sebagai berkahwin bawah ‘common-law’, pasangan perlu mempunyai keinginan bersama untuk berkahwin dan persiapkan diri dengan ilmu serta pengetahuan sebagai pasangan berkahwin pada mata masyarakat.

Pun begitu, tinggal bersama tidak dianggap sebagai satu ciri perkahwinan common-law.

Di Korea Selatan, perkahwinan jenis ini diterima ramai dan beberapa undang-undang berkaitan perkahwinan umum masih diguna pakai.

Pasangan berpisah tidak perlu memfailkan perceraian walaupun wujud isu harta sepencarian, penjagaan anak yang lahir hasil hubungan itu dan beberapa isu lain.

Jika seorang antara pasangan gagal memenuhi tuntutan dua pihak, mereka boleh didenda dan dikenakan tindakan undang-undang termasuk saman.

Topik itu menjadi hangat tidak sahaja disebabkan kes Yoo Hwan yang mula dikenali melalui beberapa drama dan terbaru drama terbitan tvN, I Need Romance 3 dan di saluran MBC, She Was Pretty, juga kerana peminat mula bercerita mengenai masalah yang pernah dilalui Yoo chun tidak lama dulu.

Yoo chun dahulunya berdepan kes serangan seksual terhadap seorang wanita di kelab malam. Rumusan peminat, kedua-dua beradik itu dilihat malang apabila sering terbabit dalam masalah berkaitan wanita.

“Abangnya didakwa merogol wanita di bilik air, adiknya pula tinggal serumah dengan wanita bukan isteri sah. Apa masalah dua beradik ini?” kata seorang peminat.

Ada juga yang berasa kasihan kerana kes Yoo chun baru saja selesai dan kini timbul pula kes membabitkan adiknya pula. Hubungan Yoo chun dan Yoo Hwan rapat, malah Yoo Hwan pernah menangis rindukan abangnya ketika penggambaran siri realiti Law Of The Jungle In Panama, Februari lalu.

Ketika penggambaran program iu, Yoo Hwan perlu hidup seperti orang nomad dan berdikari menggunakan bahan hutan untuk hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2016 @ 5:04 AM