Buaya yang naik ke pantai Kupang baru-baru ini. - Foto Pos Kupang
Buaya yang naik ke pantai Kupang baru-baru ini. - Foto Pos Kupang
AFP

Kupang, Indonesia: Pihak berkuasa wilayah Kupang menawarkan hadiah wang tunai bagi setiap seekor buaya pemakan manusia yang berjaya ditangkap dalam usaha mengurangkan populasi haiwan itu.

Populasi buaya air masin yang bahaya makin meningkat sejak beberapa tahun lalu serta mengancam keselamatan pengunjung pantai dan berikutan itu, pihak berkuasa bercadang menawarkan ganjaran Rp5 juta (RM1,540) seekor kepada pakar buaya untuk menangkap reptilia itu hidup-hidup.

Pengarah agensi pelancongan Kupang, Marius Ardu Jelamu, berkata usaha mengingatkan pelancong mengenai bahaya buaya tidak cukup.

“Ada buaya sepanjang sehingga empat meter, amat menyeramkan,” katanya.

Menurutnya, tawaran itu hanya kepada mereka yang pakar, bukan untuk orang awam manakala buaya perlu ditangkap menggunakan ubat pelali atau tali tanpa mencederakannya.

Selepas ditangkap, buaya terbabit yang tidak boleh dibunuh kerana dilindungi sebagai spesies terancam di Indonesia, akan dilepaskan di kawasan lain.

Buaya air masin boleh membesar sehingga tujuh meter panjang dan buaya di Indonesia sering menyerang manusia, termasuk pelancong Russia April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 11:07 PM