Reuters

Rio de Janeiro: Usain Bolt (gambar) berjanji akan mengecewakan pelari pecut Amerika Syarikat Justin Gatlin ketika dia bertekad membolot pingat emas ketiga berturut-turut di Sukan Olimpik Rio de Janeiro.

Bolt diberikan pelepasan pemeriksaan perubatan pegawai Jamaica untuk beraksi di Rio selepas mengalami kecederaan hamstring ketika kempen kelayakan Sukan Olimpik dan Gatlin mensia-siakan peluang mengatasi bintang itu.

Gatlin berkata, pemenang enam pingat emas Sukan Olimpik itu diberikan pelepasan perubatan untuk beraksi di Rio, tetapi Bolt kemudian membalas yang tuduhan itu akan hanya menaikkan semangatnya untuk mengatasi Gatlin di trek.

“Saya rasa mereka tidak belajar sejak beberapa tahun lalu bahawa semakin banyak anda bercakap, semakin tinggi keinginan saya untuk menewaskan anda,” kata Bolt.

“Saya tidak sabar untuk turun beraksi. Mereka pasti akan dapat berasakan amarah yang saya simpan selama ini.” lagi.

Bolt yang kembali beraksi menerusi acara 200 meter di Diamond League di London bulan lalu, berkata, dia berasakan berada pada tahap terbaik menjelang acara pembukaan pada 13 Ogos berbanding di Kejohanan Dunia di Beijing tahun lalu.

“Saya rasa lebih yakin dan lebih selesa sekarang. Saya tidak mahu meletakkan sasaran catatan masa kerana anda tidak tidak tahu apa yang akan berlaku ketika saingan sebenar.

“Tetapi saya lebih bersedia. Jadi saya rasa catatan 9.6 saat mungkin boleh dilakukan,” katanya.

Masa terpantas dunia dicatatkan Bolt menerusi acara 100m adalah 9.58 saat. Dia mencatatkan 9.79s untuk memenangi Kejohanan Dunia buat kali ketiga di Beijing tahun lalu.

Bagi acara pecut 200m pula, Bolt berkata, dia serta jurulatihnya Glen Mills berpuas hati dengan persiapan selama ini selepas melakukan 19.89s di London.

“Kami bekerja keras sejak saya berada di sini. Segala-galanya berjalan baik. Saya sangat bersedia dan gembira dengan persediaan kami selama ini,” katanya.

“Cuma saya rasa berkarat sikit sebab sudah lama tidak berlari dalam acara 200 meter. Tapi sekarang saya cuba memahami semula segala-galanya dan kembali bekerja keras.

“Yang penting selepas ini turun beraksi dan memberikan aksi terbaik,” katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 11:12 AM