PESAKIT barah bukan semestinya penunggu kematian dan kata-kata semangat amat penting untuk mereka.
PESAKIT barah bukan semestinya penunggu kematian dan kata-kata semangat amat penting untuk mereka.
Siti Zarinah Sahib


Ia bermula dengan sakit perut yang berlarutan pada 2013. Apabila wanita ini membuang air besar dia mendapati najisnya seperti najis kambing. Ketul-ketulan kecil dan keras. Keadaan ini berlarutan selama enam bulan, tetapi Emily, 54, tidak mengesyaki apa-apa.

Oleh kerana bimbang keadaan Emily, anak perempuannya yang bertugas sebagai jururawat membawa dia bertemu doktor. Dari situ doktor hanya memberikan rawatan untuk gejala saja tetapi masalah sebenar masih wujud.

“Pada 2014, selepas menjalani pemeriksaan skop dan biopsi di hospital kerajaan saya diberitahu menghidap kanser usus besar peringkat keempat. Sel kanser pula merebak ke paru-paru dan hati. Doktor mengesyorkan saya menjalani pembedahan untuk memasukkan sejenis alat (stent) supaya boleh membuka sekatan pada usus.

“Namun stent itu berharga RM3,000 dan kami tidak mampu membayarnya kerana suami sudah bersara. Mujur anak perempuan kami sanggup membiayainya,” katanya yang pada

mulanya terpaksa menjalani pembedahan hati dan paru-paru namun pembedahan terbabit dibatalkan.

Oleh itu Emily terpaksa menjalani kemoterapi sebanyak enam kitaran bagi mengecutkan ketumbuhan kanser pada hati dan paru-paru. Masalahnya rawatan ini sangat mahal. Emily memerlukan kos RM7,350 untuk setiap kitaran dan jumlah yang terpaksa dikeluarkan sebanyak RM44,000.

“Jumlah ini sangat banyak. Di manakah kami mahu mencari wang sebanyak itu? Wang simpanan tidak seberapa dan kami pasti memerlukan masa yang lama bagi mengumpul RM44,000 sedangkan sel kanser semakin membiak.

“Kami tiada pilihan melainkan membuat pinjaman bagi meneruskan rawatan. Mujur anak perempuan saya cuba mendapatkan pembayaran balik bagi kos rawatan daripada pihak kerajaan. Saya terfikir apakah yang akan berlaku bagi pesakit kanser yang tidak mempunyai wang. Alangkah bagusnya sekiranya kerajaan dapat memberikan rawatan percuma atau sekurang-kurangnya menanggung sebahagian daripada kos rawatan. Ia sudah tentu membantu pesakit kanser untuk terus hidup,” katanya.

Ujar Emily, dia langsung tidak menyangka akan menghidap kanser kerana dia penggemar sayur-sayuran yang ditanam sendiri tanpa menggunakan racun perosak. Apabila diberitahu sel kanser semakin merebak dia sangat buntu dan sedih. Dia tertanya-tanya berapa lama lagikah mampu hidup? Setahun atau hanya sebulan? Anak lelakinya turut menangis kerana takut kehilangan ibu. Malah dia kini tidur bersama Emily bagi memastikan ibunya masih hidup.

“Saya tidak takut mati tetapi sangat bimbangkan anak bongsu yang berusia 13 tahun akan kehilangan ibu. Jika boleh saya ingin lihat dia membesar dan bekerja suatu hari nanti,” katanya.

Hampir empat tahun mengharungi pengalaman ini Emily kini banyak memberikan dorongan dan sokongan kepada pesakit kanser yang lain. Dia banyak memberikan kata-kata semangat kepada rakan senasib dengannya supaya tidak berputus asa, kuatkan semangat dan ikut nasihat doktor. Memang benar bagi ramai orang kanser bererti menunggu kematian. Malah ada yang datang bertemu Emily dan bertanya, ‘Saya dengar

anda menghidap kanser, adakah sudah pulih sekarang?’

Kisah Akmar, 43

“Pada September 2013, kehidupan saya menjadi kucar-kacir kerana doktor mengesahkan saya menghidap kanser payu dara. Pada masa itu saya masih menyusukan anak perempuan yang berusia 10 bulan dan seorang lagi anak berusia dua setengah tahun. Kehidupan saya seakan-akan musnah apabila doktor memberitahu sel kanser merebak sehingga ke tulang dan hati serta kemungkinan ke otak.

“Apa yang ada dalam fikiran adalah anak masih kecil. Siapakah yang akan menjaga mereka? Ini menyebabkan saya mengambil tindakan pantas dan bertekad mahu terus hidup,” kata Akmar memulakan bicara.

Anak sulung yang berusia lima tahun seakan-akan faham penderitaan ditanggung Akmar. Ini memberikan kekuatan kepada Akmar untuk meneruskan perjuangan menentang kanser.

“Saya pasti kehilangan semangat jika tidak mendapat sokongan, penjagaan dan kasih sayang suami, ibu dan ibu bapa mentua. Saya mesti terus hidup demi mereka. Rakan juga ada yang mula menjauhi diri daripada saya selepas mengetahui saya menghidap kanser,” katanya.

Akmar mendapatkan rawatan daripada hospital kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Dia menjalani pembedahan membuang bahagian kanser pada payu dara dan otak. Dia bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kesan buruk akibat rawatan. Kos untuk rawatan pula sangat mahal. Untuk setiap bulan hampir RM10,000 terpaksa dibelanjakan.

“Pakar onkologi mengesyorkan saya menjalani terapi khusus. Menerusi rawatan ini ia hanya memusnahkan sel kanser saja dan bukan sel normal. Sesetengah ubat pula dapat menghalang aktiviti enzim, protein atau molekul yang menyebabkan sel kanser merebak ke bahagian lain. Rawatan ini sangat mengagumkan kerana walaupun sel kanser merebak, saya berpeluang untuk terus hidup,” katanya.

Ujar Akmar, dia dapat meneruskan rawatan kerana mempunyai wang simpanan. Apabila wang simpanan kehabisan sudah pasti dia mempunyai masalah kewangan. Kanser ialah penyakit yang mahal rawatannya. Rawatan perubatan bukan saja mampu menyelamatkan nyawa tetapi melanjutkan nyawa pesakit. Ini sudah tentu memberikan lebih masa untuk menjadi insan berguna kepada keluarga dan masyarakat.

“Sejak menghidap kanser dua tahun lalu, saya memperoleh banyak pencapaian. Anak saya kini berusia lima dan tiga tahun. Saya gembira melihat mereka membesar. Saya sangat berharap dapat melihat mereka menjadi orang dewasa yang berguna dan bertanggungjawab,” kata Akmar.

Dipetik daripada buku Elevating the Voice of Cancer Patients.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 5:01 AM