KUALA LUMPUR: Seorang anggota Perhimpunan Parlimen Majlis Eropah hari ini menzahirkan simpati kepada Malaysia di atas insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 dan nahas pesawat MH17 pada 17 Julai lalu.

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, perkara itu dinyatakan oleh Andreas Gross ketika beliau membuat kunjungan hormat ke atasnya di Bangunan Parlimen, di sini.

Gross, yang dalam lawatan enam hari ke Malaysia mulai semalam, diiringi Duta Besar Switzerland di Malaysia Dr Rolf Lenz.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada Mac lalu manakala MH17 ditembak jatuh ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur hingga mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal.

Abu Zahar berkata, dalam pertemuan hampir dua jam itu, beliau dan Gross saling bertukar pendapat mengenai aspek perundangan kedua-dua negara selain menyuarakan usaha bagi memperkukuh hubungan baik dua hala sedia ada.

"Gross turut mencadangkan sesi pertemuan dengan anggota Parlimen Malaysia. Beliau melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang pesat membangun dengan kestabilan politik, ekonomi dan keharmonian setiap kaum berlainan agama," katanya.

Menurutnya Gross juga kagum dengan pencapaian Malaysia sebagai negara yang berpengaruh dalam kalangan negara Asean. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 9:43 PM