JULIA.
JULIA.
Ridzuan Abdul Rahman


Tanpa berselindung, pelakon Julia Ziegler mengakui hatinya kini sudah terisi. Raut wajahnya tampak berseri tatkala berkongsi cerita mengenai jejaka pilihannya.

Bahkan pemilik nama sebenar Julia Bob Fauzi Ziegler, 32, ini mendedahkan mahu menyimpulkan hubungan dengan jejaka yang diperkenalkan sebagai Johan itu dengan ikatan yang sah.

“Kami berkenalan awal tahun lalu dan mula rapat. Johan berusia 33 tahun dan bertugas sebagai jurutera mekanikal.

“Tak dinafikan ada perancangan untuk berkahwin, tetapi tarikhnya belum ada. Mungkin kami pilih hujung tahun ini atau mungkin awal tahun depan.

“Kami akan terus kahwin tanpa perlu bertunang dan saya hanya mahukan majlis yang sederhana, tapi meninggalkan kenangan tersendiri,” katanya.

Menurutnya, mereka sudah menghadiri kursus kahwin dan kini meninjau lokasi sesuai untuk majlis perkahwinan.

“Saya amat berharap segala perancangan berjalan lancar. Saya kini berhati-hati dalam setiap tingkah laku bagi menjaga nama baik Johan.

“Dia tak biasa dengan selok-belok industri hiburan. Selebriti macam saya seringkali jadi bahan bualan masyarakat, tapi syukur dia okey.

“Johan rajin juga membaca artikel hiburan secara online dan kerap bertanyakan kepada saya mengenai isu yang hangat diperkatakan,” katanya.

Ditanya sama ada dia bersedia mendedahkan wajah kekasihnya kepada umum, Julia berkata, hanya akan melakukannya selepas mereka diijabkabulkan.

Cabar diri

Dalam perkembangan lain, pelakon drama Bibik Bibikku ini turut terbabit program Super Spontan Superstar yang bersiaran menerusi Astro Warna (132) dan Mustika HD (134) bermula 5 Ogos ini.

Julia menyifatkan program itu cukup istimewa dan teringin mencuba nasib beraksi secara spontan.

“Ramai yang mahu mencuba, tetapi tak berani kerana ia acara spontan. Saya hadir ke sesi boot camp dan dapati ia sangat mencabar. Daripada situ timbul perasaan teruja.

“Pelbagai perkara baru saya belajar sepanjang boot camp berlangsung. Kini saya nekad cabar diri berlawak di depan penonton. Lagipun kita perlu mencuba benda baru dalam hidup.

“Super Spontan Superstar menampilkan ramai peserta dan setiap orang ada peranan masing-masing. Meskipun saya tidak kekoh beraksi, perasaan gemuruh tetap ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2016 @ 5:04 AM