PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempengurusi Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Putra Dunia (PWTC). FOTO Saddam Yusoff
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempengurusi Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Putra Dunia (PWTC). FOTO Saddam Yusoff
Mohd Nasif Badruddin dan Hairulazim Mahmud


Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dilantik Bendahari UMNO menggantikan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak berkata, Salleh mengangkat sumpah memegang jawatan baru itu pada permulaan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO petang ini.

"Terima kasih kepada Ahmad Husni yang menjadi Bendahari UMNO sekian lama dan menjalankan tugas dengan baik sekali dan penuh integriti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MT UMNO di Menara Dato Onn di sini, hari ini.

Ahmad Husni meletakkan semua jawatan disandangnya iaitu Bendahari UMNO, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Ketua UMNO Bahagian Tambun dan Menteri Kewangan II pada 27 Jun lalu, bagaimanapun beliau masih mengekalkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Tambun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 7:17 PM