UMA MAGESWARI dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan memiliki dan membocorkan kertas peperiksaan Sains UPSR 2014. FOTO Yahya Zain
UMA MAGESWARI dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan memiliki dan membocorkan kertas peperiksaan Sains UPSR 2014. FOTO Yahya Zain
Muhammad Apendy Issahak


Kuala Kangsar: Seorang guru wanita yang didakwa membocorkan kertas soalan Sains Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini.

P Uma Mageswari, 28, yang sebelum ini mengajar Bahasa Inggeris dan Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Keruh, Pengkalan Hulu

dibebas dan dilepas selepas mahkamah berpuas hati dengan segala keterangan dan hujah yang dikemukakan saksi pendakwaan dan pembelaan dalam kes berkenaan.

Keputusan kes berkenaan dibacakan Hakim Niran Tan Kran manakala tertuduh diwakili peguam, M Kulasegaran, manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya N Jayanthi.

Niran ketika membacakan keputusan kes berkenaan berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie dalam kes berkenaan sebagaimana mengikut Seksyen 8 (1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).

Niran turut mengarahkan supaya telefon bimbit tertuduh yang dijadikan barang kes dikembalikan dan wang jaminan sebanyak RM3,000 juga dikembalikan kepada tertuduh.

Uma Mageswari dituduh memiliki beberapa kertas soalan sains UPSR 2014 dalam telefon bimbit Samsung Ace di sekolah sama pada jam 12.39 tengah hari pada 10 September 2014.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8 (1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2016 @ 11:38 AM