Rudy Imran Shamsudin


Mereka yang bertubuh besar dan berisi sering mengadu susah untuk bergaya kerana bimbang andai salah memilih baju, ia menyebabkan penampilan kelihatan tidak kena gaya.

Oleh itu kebanyakan yang bertubuh besar mahupun berisi lebih senang tampil dengan baju warna polos, tidak terlalu terang dan potongan longgar.

Mungkin beberapa penampilan selebriti popular boleh dijadikan contoh buat mereka yang bertubuh berisi untuk tampil penuh glamor.

Sebelum ini ramai daripada mereka yang bertubuh besar mahupun berisi cuba mengelak menggayakan baju bercorak besar, namun lihat saja betapa cantik dan ayunya Sherry Al-Hadad dan Datuk Ziela Jalil yang memilih kurung dan kebaya bercorak bunga penuh.

Ifa Raziah pula memilih menggayakan kurung moden bercorak bunga penuh dengan potongan ala Saloma dan kain duyung.

Sulaman dengan tona bertentangan pada pakaian busana digayakan juga boleh membuatkan penampilan mereka yang bertubuh besar mahupun berisi nampak lebih bergaya dan cantik seperti penampilan Maria Tunku Sabri.

Pemilihan baju warna sedondon tanpa corak adalah jalan paling selamat untuk mereka yang bertubuh besar mahupun berisi untuk bergaya.

Bagaimanapun, pemilihan warna menonjol boleh membuatkan penampilan Fazlina Datuk Ahmad Daud menjadi tarikan sementara Adibah Noor memilih baju renda Perancis dengan warna perak sedondon kain.

Pendak kata, mereka yang bertubuh besar mahupun berisi tidak ada halangan untuk bergaya asal saja berani seperti ditampilkan selebriti ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2016 @ 6:19 AM