SERONOK menerokai keunikan Malaysia.
SERONOK menerokai keunikan Malaysia.
Aniza Zainudin


Negeri yang terkenal dengan kesultanan Melayu meninggalkan kesan istimewa di hati pemuda ini. Menjadi destinasi pertama memulakan kehidupan di Malaysia, Fahd Muhammed mengakui Melaka mempunyai keunikan tersendiri sama ada dari segi masyarakat mahupun sejarah.

Memiliki teman baik yang disifatkan istimewa turut berasal dari Melaka, lelaki berusia 32 tahun memiliki hasrat untuk menetap lebih lama di Malaysia.

1. Kali pertama anda mengunjungi Malaysia dan tujuannya?

Kali pertama saya datang ke Malaysia pada Januari 2007 untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana di Melaka dan menamatkan latihan industri. Kemudian, saya menyambung ke peringkat sarjana dan kini, saya bertugas di Universiti Antarabangsa Al Madinah. Sepanjang saya berada di sini, saya juga kerap pulang ke tanah air untuk menziarahi ibu dan keluarga.

Sebenarnya keputusan saya ke Malaysia sangat tepat kerana saya mempelajari banyak perkara baru di sini.

2. Sejauh mana pengetahuan anda mengenai Malaysia sebelum datang ke sini?

Tidak banyak yang saya tahu mengenai Malaysia, melainkan maklumat asas seperti negara Islam, kaya dengan keindahan alam semula jadi, dihuni penduduk pelbagai kaum dan budaya berbeza. Maklumat ini membuatkan saya tertarik untuk menerokai Malaysia.

3. Cabaran yang anda lalui di Malaysia?

Pastinya masalah bahasa kerana saya hanya boleh bertutur dalam bahasa Arab. Kesukaran berkomunikasi membuatkan saya berasa terasing dan sukar menyesuaikan diri dalam komuniti terdekat, terutama jiran.

Kemudian, saya mengikuti kursus bahasa Inggeris dan mempelajari bahasa Malaysia daripada teman sekuliah.

4. Pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang berada di Malaysia?

Saya seronok menyambut hari raya di Malaysia kerana budaya yang unik dan saling menziarahi antara satu sama lain. Saya berpeluang menjamu sajian menyelerakan yang hanya boleh didapati pada Syawal seperti ketupat. Saya juga mempunyai biskut raya kegemaran.

Selain itu, saya kerap melancong bersama teman rapat di lokasi menarik di Malaysia, terutama pantai.

5. Lokasi kegemaran anda?

Melaka adalah lokasi paling istimewa buat saya. Selain pernah menetap di sana selama lima tahun ketika melanjutkan pelajaran, saya juga mempunyai teman rapat istimewa yang berasal dari negeri Hang Tuah itu. Melaka juga mempunyai banyak lokasi menarik.

6. Makanan tempatan pilihan anda?

Sate dan nasi lemak di Bukit Beruang, Melaka.

7. Malaysia di mata anda?

Malaysia sebuah negara yang sangat menarik. Malaysia juga pilihan tepat bagi pelajar asing untuk melanjutkan pelajaran kerana ia menyediakan kemudahan terbaik. Sembilan tahun di sini, Malaysia diibaratkan rumah kedua saya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2016 @ 4:50 AM