Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Maybank menjadi perintis penggunaan pengesahan biometrik bagi perbankan mudah alih menerusi pengenalan perkhidmatan Quick Touch melalui aplikasi Maybank2u.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank Malaysia Hamirullah Boorhan berkata, pengenalan Quick Touch mencerminkan komitmen Maybank untuk memanfaatkan teknologi terkini untuk meningkatkan pengalaman pelanggan.

Beliau berkata, perkhidmatan baru yang pertama seumpamanya di Malaysia itu membolehkan pelanggan mengakses akaun mereka dan menyemak baki yang dimiliki dengan membuat pengesahan menggunakan cap jari pada peranti mudah alih mereka.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk membawa ke pasaran cara yang mudah dan pantas pelanggan menyemak jumlah sebenar baki akaun mereka dalam masa dua saat.

“Secara purata, lebih daripada 500,000 pertanyaan baki dilakukan setiap bulan dan ini akan memerlukan pelanggan memasukkan PIN setiap kali mahu mengakses akaun mereka,” katanya.

Menurutnya, perkhidmatan itu adalah sebahagian daripada strategi kumpulan untuk mengukuhkan penawaran dalam ruang digital dan memenuhi permintaan daripada pelanggan untuk meningkatkan kemudahan serta kelajuan transaksi.

Katanya, pengesahan biometrik baru itu membolehkan akses kepada akaun kira-kira 70 peratus lebih pantas berbanding kaedah konvensional dengan memasukkan nombor pengenalan peribadi (PIN) 6 digit.

Beliau berkata, memandangkan ia adalah jumlah yang besar, pihaknya berasakan amat penting untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dengan menawarkan pengguna akses yang lebih cepat kepada akaun mereka.

“Untuk itu, kami telah melabur untuk inovasi terkini yang membabitkan peranti mudah alih, iaitu teknologi biometrik kepada pelanggan dengan kemudahan penggunaan yang lebih selesa,” katanya.

Perkhidmatan baru ini juga membolehkan Maybank untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam perbankan digital dan memperkayakan platform e-perbankan untuk memberi manfaat kepada pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 5:12 AM