ZULZURAIDY (tengah) bersama Husain (enam dari kiri) bergambar kenangan di Kulim Hi-Tech, kelmarin.
ZULZURAIDY (tengah) bersama Husain (enam dari kiri) bergambar kenangan di Kulim Hi-Tech, kelmarin.
Azahar Hashim


Kulim: Pemilihan Kulim Hi Tech sebagai lokasi penganjuran Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) Grand Prix 2016 Sirkit 1 pada 30 Julai ini dianggap bertepatan dalam melonjakkan kawasan berkenaan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-20 Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan Discovery Kedah 2016.

Setiausaha Pihak Berkuasa Tempatan Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim Zulzuraidy Othman berkata, pihaknya amat berbesar hati apabila penganjur HMMTB memilih lokasi berkenaan kerana mempunyai daya tarikan sendiri selain meraikan sambutan ulang tahun KHTP.

Katanya, kehadiran peserta dianggarkan mencecah 1,500 secara tidak langsung mampu mempromosikan lokasi berkenaan sebagai antara usaha menarik kehadiran pelancong ke negeri ini.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro kerana sudi memilih Kulim Hi Tech sebagai sirkit pertama HMMTB tahun ini dan berasa amat bertuah berikutan bakal menerima kehadiran peserta dalam jumlah besar.

“Secara tidak langsung kejohanan ini dapat menonjol dan memperkenalkan Kulim Hi-Tech kepada orang ramai terutama kepada peserta dari luar daerah dan negeri ini.

“Kejohanan ini juga memberi gambaran Kulim Hi-Tech bukan hanya kawasan kilang, malah ia juga mempunyai taman perumahan serta pelbagai kemudahan lain seperti sekolah, institusi pengajian tinggi dan agensi keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Harian Metro Mountain Baik Grand Prix 2016 Sirkit 1 bersama agensi kerajaan di pejabat Pihak Berkuasa Tempatan Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Kejohanan yang juga Pengarang Bersekutu (Rencana) Harian Metro Husain Jahit dan Pengarang Berita Harian Metro Noor Azam Aziz merangkap Pengarah Teknikal.

Antara wakil agensi turut serta adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Hospital Kulim, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Pejabat Belia dan Sukan Daerah serta SWCorp termasuk E-Idaman.

Zulzuraidy berkata, penganjuran kejohanan berkenaan secara tidak langsung akan menggunakan sepenuhnya Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech yang mempunyai pelbagai kemudahan sukan untuk penduduk seperti gelanggang futsal, bola keranjang, badminton, aktiviti papan mendaki dan gimnasium.

Sementara itu, Zulzuraidy berkata, sukan berbasikal semakin menonjol di negara ini dan Kedah apabila wujud banyak kumpulan termasuk basikal lasak yang menjalankan aktiviti santai atau menyertai pertandingan.

“Perkembangan berkenaan menunjukkan budaya berbasikal bukan saja memberi kesihatan yang baik, malah dapat mengeratkan hubungan silaturahim,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2016 @ 5:12 AM