Selagi ada hayat dikandung badan, hargailah segala jerih-perih dan pengorbanan seseorang itu. Jangan tunggu sehingga dia sudah 'menutup mata' baru mahu dilambakkan dengan pelbagai bentuk pengiktirafan dan penghormatan.

Biarlah segala penghargaan itu dapat disaksikannya sendiri. Penyanyi latar filem legenda Bollywood, Asha Bhosle, minggu ini akan menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Tahun pada Festival Filem Dubai yang ke-11. Sejak usia remaja sehingga sekarang, Asha sudah menyanyikan 12,000 lagu untuk 850 filem dan suara emasnya memang tiada galang ganti meskipun ramai penyanyi latar baru muncul di Bollywood.

Asha yang kini berusia 80-an buat kali pertama berlakon dalam filem Mai paa 2013 dan menerima kritikan positif. Namanya juga diletakkan dalam Guinness Book of World Records sebagai penyanyi yang paling banyak merakamkan lagu dalam sejarah muzik dunia.

Kegemilangan selama 70 tahun di Bollywood, Asha juga pernah mendapat anugerah tertinggi daripada kerajaan India, Dadasaheb Phalke Award (2000) dan Padma Vibhushan (2008).

Pengerusi Festival Filem Dubai, Abdulhamid Juma berkata, dia tidak sabar untuk menyambut penyanyi legenda itu ke majlis anugerah berkenaan.

"Suaranya menyentuh perasaan semua orang di dunia dan kami di Dubai amat menyanjung tinggi pembabitannya dalam industri filem Bollywood dan turut meraih kemasyhuran di seluruh dunia," katanya.

Asha pula berkata, dia amat terharu dengan penganugerahan itu yang mana Dubai ada ikatan sejarah yang panjang dengan India.

Anugerah Pencapaian Sepanjang Zaman itu dikhususkan kepada aktor, penulis, pengarah dan produser yang berjaya dalam industri filem dunia. Mereka yang pernah diberikan anugerah itu, Martin Sheen, Omar Sharif, Faten Hamamah, Adel Imam, Jameel Rateb, Sabah, Morgan Freeman, Sean Penn, Oliver Stone, Terry Gilliam, Yash Chopra, Subhash Ghai, Michael Apted, Yash Chopra, Amitabh Bachchan dan Shah Rukh Khan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 5:02 AM