Penganggur dijel 30 tahun dan 30 sebatan kerana rogol adiknya, dua tahun lalu. FOTO Muhamad Faris Zainuldin
Penganggur dijel 30 tahun dan 30 sebatan kerana rogol adiknya, dua tahun lalu. FOTO Muhamad Faris Zainuldin
Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Penganggur berusia 20 tahun dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 30 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan merogol adiknya, dua tahun lalu.

Ketika dijatuhkan hukuman oleh Hakim Mohd Yusoff Yunus, tertuduh hanya menundukkan wajahnya.

Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh didapati bersalah atas tiga pertuduhan merogol adiknya masing-masing 10 tahun penjara dan 10 sebatan untuk setiap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di Kampung Gong Serai, Padang Pak Amat, dekat Pasir Puteh, jam 4.15 petang, 18 Jun 2014.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa sama di pondok kosong di Permatang Rambai, jam 7 petang, 18 Jun 2014.

Pertuduhan ketiga, dia didakwa merogol mangsa sama di sebuah rumah di Kampung Gong Serai, Padang Pak Amat, Pasir Puteh, jam 6 pagi, 19 Jun 2014.

Untuk ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fahrul Razi Zainal Abidin dan tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Faizal Hazim Abd Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2016 @ 1:46 PM