Faizal  dijatuhi hukuman 17 tahun penjara dan 26 sebatan di Mahkamah Sesyen selepas mengaku salah atas pertuduhan rogol dan rompak wanita berusia 33 tahun pada Mei lalu. FOTO Zaman Huri Isa
Faizal dijatuhi hukuman 17 tahun penjara dan 26 sebatan di Mahkamah Sesyen selepas mengaku salah atas pertuduhan rogol dan rompak wanita berusia 33 tahun pada Mei lalu. FOTO Zaman Huri Isa
Siti Nor Hidayatidayu Razali


BURUH dijatuhi hukuman penjara 17 tahun dan 26 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, atas dua pertuduhan pindaan merogol dan merompak wanita berusia 33 tahun, bulan lalu.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu kepada Faizal Hussain, 22, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Bagi pertuduhan pertama, kedua dan ketiga, hakim menjatuhkan hukuman masing-masing penjara selama 16 tahun dan 10 sebatan; penjara 17 tahun dan 10 sebatan serta penjara tujuh tahun dan enam sebatan. Mahkamah mengarahkan hukuman itu berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 15 Mei 2017.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama dan pindaan kedua, tertuduh didakwa merogol ibu tunggal anak satu itu sebanyak dua kali dan membuat mangsa takut kerana terdedah dengan kematian dalam kejadian di dalam kereta jenis Proton Iswara masing-masing di tempat letak kereta di Bazar Tengku Anis, jam 7.40 malam dan hadapan kedai makan di Kampung Banggol, Badang jam 8.30 malam, 12 Mei 2017.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun hingga 30 tahun dan juga sebat.

Pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa merompak mangsa sebanyak RM50, sebuah telefon bimbit di tepi jalan Kampung Banggol, Badang, jam 9.45 malam, pada 12 Mei 2017.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan dikenakan denda dan sebat.

Terdahulu tertuduh memohon mahkamah mengurangkan hukuman penjara dan sebat memandangkan dia mempunyai isteri, dua anak dan ibu bapa yang nyanyuk.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Wong Siew Mun memohon hukuman penjara yang setimpal dan berasingan kerana perbuatan tertuduh membuatkan pengadu rasa takut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2017 @ 6:26 PM