ILYA bawa dua anak menetap di Malaysia pelajari kepelbagaian budaya, bahasa.
ILYA bawa dua anak menetap di Malaysia pelajari kepelbagaian budaya, bahasa.
Aniza Zainudin


Penerbangan yang memakan masa lebih 20 jam dari Russia ke Malaysia menjanjikan tawaran menarik buat Ilya V Gurgutsov pada 1999.

Hirupan udara segar Malaysia buat kali pertama berjaya mengikat hati lelaki Russia ini untuk terus berada di negara bertuah ini.

Kegigihan Ilya mempromosikan destinasi unik Malaysia kepada rakyat Russia membuatkan temannya tertanya-tanya mengenai keistimewaan negara ini.

Bagi Ilya, Malaysia sebuah negara yang sempurna.

1. Kali pertama anda menjejakkan kaki ke Malaysia dan tujuannya?

Bekerja dalam dunia penerbangan dan pelancongan membuatkan saya sentiasa sensitif dengan permintaan daripada pelanggan serata dunia.

Apabila ada permintaan di Malaysia, saya ditugaskan untuk membuat penyelidikan dan bertemu pelabur. Sejak September 1999 hingga 2002, saya kerap berulang-alik dari Russia ke Malaysia.

Sebaik syarikat memulakan operasi, saya menjadi individu terawal bekerja di sini sejak Ogos 2003. Saya sangat gembira berada di Malaysia dan ia ibarat rumah kedua saya.

2. Sejauh mana pengetahuan anda mengenai Malaysia sebelum ke sini?

Kali pertama saya mengetahui mengenai Malaysia daripada bapa mentua yang pernah menghadiri konvensyen di sini.

Malaysia sebuah negara pelbagai kaum, agama dan bahasa, itu menjadi tarikan buat saya sekali gus membolehkan dua anak saya mempelajari keunikan bahasa di sini.

3. Cabaran yang anda lalui sepanjang berada di sini?

Sebenarnya saya tidak mengalami sebarang masalah sepanjang berada di sini.

4. Pengalaman yang ingin dikongsikan?

Hampir 15 tahun berada di Malaysia, saya hanya terlepas dua kali perlumbaan Formula One di Litar Antarabangsa Sepang iaitu pada 1999 dan 2005. Saya sangat menggemari sukan ini dan jarang melepaskan peluang menyaksikannya.

Saya juga seronok bertemu dan berurusan dengan penduduk tempatan. Apabila saya melancong di dalam negara, saya dapat mengenali budaya tempatan dengan lebih dekat. Baru-baru ini, saya bercuti ke Terengganu dan singgah di restoran untuk menjamu selera.

Ada segelintir penduduk tempatan datang dan bertanya tujuan saya ke sana, itu menjadi langkah pertama dalam memulakan perbualan.

Mereka dapat mempelajari sesuatu daripada saya, dan sebaliknya. Sekiranya saya tidak faham, mereka sedaya upaya memahami isi yang cuba disampaikan. Ini menjadi keistimewaan Malaysia berbanding negara Asia Tenggara lain.

5. Lokasi kegemaran anda?

Pulau Langkawi sentiasa menjadi destinasi tarikan utama. Sekitar 2002 hingga 2003, saya kerap ke sana untuk membawa kumpulan pelancong.

Malah, di sana juga saya berpeluang mempelajari bahasa Malaysia sekali gus memudahkan saya berkomunikasi dengan golongan nelayan.

Tetapi sekarang, saya jarang berbahasa Malaysia kerana urusan kerja lebih memerlukan saya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Sebenarnya Malaysia mempunyai banyak destinasi yang sangat menarik dan ia perlu diterokai sebelum dikongsikan kepada pelancong luar.

6. Makanan tempatan pilihan anda?

Rempah ratus kita jauh berbeza dan saya sendiri suka memasak. Makanan yang menjadi pilihan saya adalah roti canai dan sup kambing.

Saya juga menyukai kopi ‘O’ kosong panas kerana ia tidak terlalu beraroma.

Di sini, banyak medan selera dan restoran, selain harga murah, kualiti makanan yang sedap menjadi tarikan.

7. Malaysia di mata anda?

Kuala Lumpur sebuah bandar yang menakjubkan dan moden dengan pembangunan tersendiri.

Kadar inflasi rendah, ekonomi yang stabil, kadar gelandangan juga di tahap rendah dan pihak pentadbir yang mudah berurusan.

Saya dan keluarga menikmati kehidupan yang selesa sepanjang berada di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2016 @ 5:04 AM