Zainol bersama isterinya selepas pernikahan. FOTO IHSAN PEMBACA
Zainol bersama isterinya selepas pernikahan. FOTO IHSAN PEMBACA
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon era 1980-an yang juga bekas penyampai TV, Zainol Johari Macwilson mengesahkan dia sudah bernikah dengan seorang wanita berusia 38 tahun di Kangar, Perlis, Ahad lalu.

Zainol, 58, yang juga bapa kepada pelakon Zahirah Macwilson juga mengesahkan pernikahannya dengan ibu tunggal dua anak itu adalah perkahwinan ketiganya.

Terdahulu, gambar pernikahannya yang berlangsung di sebuah surau di Taman Jali, Kangar itu tersebar di Internet sejak kelmarin tetapi Zainol ketika dihubungi ketika itu enggan mengulas.

Malah, ketika dihubungi wartawan kelmarin, Zainol turut menafikannya dan menjelaskan gambar terbabit ialah antara babak dalam drama lakonannya.

Zainol ketika dihubungi berkata, dia mempunyai alasan kenapa perlu merahsiakan perkahwinannya bersama wanita terbabit.

"Betul, ini adalah perkahwinan ketiga saya. Sebelum berkahwin dengan Maslinda Yusof iaitu ibu Zahirah, saya pernah berkahwin dengan orang lain. Namun kami tidak dikurniakan cahaya mata. Ketika itu saya belum terbabit dalam bidang seni jadi tidak ramai mengetahuinya.

"Bagi perkahwinan ketiga ini, ia diadakan secara tertutup membabitkan keluarga saja. Tidak timbul isu nak menutup malu, cuma ia lebih kepada memenuhi permintaan keluarga isteri yang tidak mahu perkara ini mendapat liputan media.

"Disebabkan itu saya terpaksa merahsiakannya. Namun tidak sangka pula ia tersebar dengan cepat," katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Zainol turut menafikan isterinya adalah punca kepada keretakan rumah tangganya dengan bekas isteri sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2016 @ 4:11 PM