BALKISYH.
BALKISYH.
Najiy Jefri


Meskipun sudah 13 tahun mencanai bakat dalam bidang lakonan, kehadiran dramatis Balkisyh Semundur Khan masih agak asing di mata khalayak.

Meskipun wajahnya sering menghiasi kaca televisyen menerusi drama popular Rindu Awak 200%, Tiga Segi dan Waris Kasih, nama anak jati Lahad Datu, Sabah ini seakan-akan gagal melekat hati penonton.

Bagaimanapun, bermula tahun lalu karier pelakon berusia 29 tahun itu mula menampakkan perubahan drastik selepas pembabitannya dalam drama bersiri komedi Mak Cun yang disiarkan di TV3.

Tampil selaku teraju utama, drama yang turut dibintangi Erma Fatima itu memberi tempias positif kepada dirinya.

Kata Balkisyh yang melakonkan watak Saidatul atau Atul, drama Mak Cun memberi nafas baru kepada kerjanya.

“Saya sedar nama saya sukar memenangi hati peminat sebelum ini. Malah, ramai yang kurang menyedari kehadiran saya meskipun sudah lama berkecimpung dalam industri seni tanah air.

“Tak sangka pula drama ini membantu menaikkan kembali nama saya.

“Biarpun asalnya watak Atul itu sepatutnya diberikan kepada pelakon lain tetapi saya dipelawa rakan yang juga orang produksi menghadiri sesi uji bakat. Mungkin inilah yang dinamakan rezeki. Alhamdulillah kehadiran saya semakin diterima ramai,” katanya.

Tambah Balkisyh, selepas kehadirannya dalam drama itu mencuri tumpuan, ramai peminat yang mendekati menganggap dia pendatang baru yang sedang mencipta nama.

“Ramai menganggap saya pelakon baru. Jujur, saya tidak pernah berkecil hati sebaliknya berasa seronok kerana pelakon baru biasanya dilimpahi rezeki berganda,”katanya.

Siapa sangka, jika dahulu kontroversi menghantui hidupnya, kini namanya jadi pujaan.

Enggan mengenang kembali kisah hitam yang pernah singgah dalam kamus hidupnya, Balkisyh mengambil pendekatan positif apabila ada yang cuba mengungkit perkara itu.

“Saya terima dengan hati yang terbuka. Apabila ada yang bertanya, saya jawab rezeki hadir dengan pelbagai cara.

“Ada yang terus naik dan kekal hingga ke hari ini. Kembara seni saya tidak menunjukkan sebarang perubahan apabila terpalit macam-macam kontroversi.

“Bagaimanapun, itu dulu. Sekarang, saya bebas kontroversi dan bahagia bersama keluarga. Rezeki pun semakin murah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2016 @ 11:45 AM