PASUKAN penyelamat mengeluarkan mayat mangsa yang ditemui ditimbus tanah runtuh di Purworejo, semalam.
PASUKAN penyelamat mengeluarkan mayat mangsa yang ditemui ditimbus tanah runtuh di Purworejo, semalam.
AP

Banyumas (Indonesia): Angka kematian akibat kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur yang melanda Jawa Tengah meningkat kepada 47 orang semalam.

Pasukan penyelamat menggunakan jengkaut dan menggali menggunakan tangan untuk mencari 15 penduduk yang hilang selepas rumah mereka dilanda tanah runtuh serta banjir kelmarin.

Hujan lebat sejak beberapa hari menyebabkan tanah runtuh, banjir lumpur dan batu yang meranapkan kediaman serta menghanyutkan kenderaan di jalan raya.

Beratus-ratus rumah dilaporkan rosak dengan sebilangan bangunan dilaporkan musnah sama sekali.

Jurucakap agensi pengurusan bencana, Sutopo Purwo Nugroho berkata, 47 penduduk disahkan maut dan 15 lagi masih hilang.

Katanya, kawasan yang paling teruk terjejas dengan tanah runtuh dan banjir adalah daerah Purworejo.

Kematian juga dilaporkan di Banjarnegara dan Kebumen.

“Penduduk patut bersedia kerana terdapat kemungkinan berlakunya banjir dan tanah runtuh lagi,” katanya.

Menurutnya, lebih 400 anggota penyelamat terbabit dalam operasi mencari mangsa yang masih hilang.

Pihak berkuasa juga membuka beberapa pusat pemindahan yang lengkap dengan tempat perlindungan berhampiran lokasi bencana.

Sutopo memberitahu, hujan lebat akibat fenomena cuaca La Nina mungkin antara penyumbang tragedi berkenaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2016 @ 7:27 AM