Pandangan dari dalam ambulans yang terhalang pada 22 Mei lalu, ketika dalam perjalan ke lokasi kemalangan berhampiran susur keluar Simpang Ampat, Melaka.
Pandangan dari dalam ambulans yang terhalang pada 22 Mei lalu, ketika dalam perjalan ke lokasi kemalangan berhampiran susur keluar Simpang Ampat, Melaka.
BERNAMA

Melaka: Seramai 22 pemandu yang menggunakan lorong kecemasan di KM 228 Lebuhraya Utara-Selatan menghala utara sehingga menghalang laluan ambulans pada Mei lalu, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Gajah dekat sini, 18 Julai depan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk V Valluvan berkata, semua 22 pemandu itu sudah diberi saman untuk dibawa ke mahkamah selepas hadir sesi temu siasat yang diadakan di JPJ Melaka.

Beliau berkata, JPJ memberi notis temu siasat kepada semua 79 pemandu yang melakukan kesalahan itu dan sedang menunggu baki pemandu yang masih tidak hadir temu siasat berkenaan.

“JPJ memandang serius perkara ini dan kita ambil tindakan mendakwa pemandu yang menggunakan lorong kecemasan dalam kejadian itu di mahkamah secepat mungkin," katanya di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang 22 Mei lalu, kenderaan terbabit menggunakan lorong kecemasan menyebabkan ambulans lewat tiba di lokasi kemalangan berhampiran susur keluar Simpang Ampat di sini. Kelewatan ambulans antara sebab Mohamad Ma'arof Shadik Mohamed, 38 dan adiknya, Alam Iqbal, 20, yang cedera parah selepas motosikal dinaiki merempuh kereta rosak di lorong kecemasan, lewat diberi bantuan dan meninggal dunia di Hospital Seremban.

Valluvan berkata, pemandu yang tidak hadir ke sesi temu siasat dalam tempoh 21 hari ditetapkan selepas menerima notis temu siasat, tidak akan terlepas malah akan dikenakan tindakan susulan.

Katanya, arahan sudah dikeluarkan kepada semua pejabat JPJ di seluruh negara bagi mengesan pemilik kenderaan yang enggan menghadirkan diri kerana pendaftaran kenderaan berkenaan kebanyakan dari luar Melaka, antaranya Johor dan Selangor.

Beliau berkata, tiga kenderaan dari Singapura dan mereka juga tidak akan terlepas tindakan undang-undang.

"Kita rekodkan kesalahan pemandu dari Singapura ini dan tindakan dilakukan secepat mungkin selepas Sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) dilaksanakan dalam masa terdekat ini," katanya.

JPJ juga menerima lebih 1,000 aduan dan gambar kesalahan pemandu yang menyalahgunakan lorong kecemasan antara 22 Me

hingga 10 Jun lalu.

Valluvan berkata, tindakan akan diambil selepas siasatan terperinci dan JPJ berharap orang ramai boleh menyalurkan sebarang aduan atau gambar kesalahan lalu lintas yang dilakukan pemandu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 6:08 PM