Nor Azura Abdul Jalil


Petaling Jaya: Tukang cat kereta dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya di atas tuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daish, Mac lalu.

Muhammad Aizam Mat Zin, 39, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Salamiah Salleh. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Aizam didakwa memiliki 65 keping kertas berukuran A3 dan tiga keping kertas berpelekat berukuran A4 yang berkaitan kumpulan pengganas Daish di sebuah rumah di No 27 Jalan PUJ1/14, Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan dekat sini pada jam 6.20 pagi, 27 Mac lalu.

Dakwaan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana barangan itu, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 29 Julai untuk sebutan semula kes.

Tertuduh akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur petang ini untuk menghadapi satu lagi pertuduhan berkaitan aktiviti keganasan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2016 @ 1:44 PM