DALER
DALER
Najiy Jefri

Nekad mengembangkan karier lakonan di Malaysia, pendatang baru Daler Yusof mengakui dia mengambil masa hampir dua tahun untuk mempelajari bahasa Melayu bagi mengintai peluang.

Biarpun jejaka kacak kelahiran Uzbekistan ini pada mulanya tidak pandai bertutur dalam bahasa Melayu, atas inisiatif dan semangat juang yang tinggi pemilik nama sebenar Daler Yusof Khamrokulov, 24, semakin yakin menggunakan bahasa itu dalam rutin hariannya.

Kata Daler, dia tidak mendapat tunjuk ajar daripada sesiapa sebaliknya menggunakan medium komunikasi dan banyak menonton drama tempatan sebagai latihan.

“Saya mengambil masa selama dua tahun untuk benar-benar fasih kerana sejak kecil lagi saya menyimpan impian untuk bergelar pelakon.

“Terus terang tiada siapa yang ajar saya bertutur dalam bahasa Melayu tetapi belajar atas inisiatif sendiri.

“Sebelum ini saya pernah terfikir untuk mengikuti kelas bahasa Melayu tetapi tidak jumpa guru yang betul-betul nak mengajar.

“Mujur saya dikelilingi rakan Melayu dan minta mereka berkomunikasi dengan saya dalam bahasa ini kerana ia cara paling cepat untuk belajar,” katanya kepada RAP.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan di sebuah universiti swasta itu memulakan kariernya sebagai model sebelum berjinak-jinak dalam bidang lakonan.

Antara drama lakonannya adalah Tuan Anas Mikael dan filem Castil Tua. Terbaru, Daler berpeluang tampil sebagai watak utama menerusi drama bersiri Lip Lap Raya yang bersiaran di saluran HyppTV.

Siapa sangka, kecintaan mendalam terhadap bidang lakonan pernah mendapat tentangan keluarganya yang menganggap kerjaya itu tidak punya masa depan.

Disebabkan itu, Daler mengambil keputusan menyambung pengajian di Kuala Lumpur dan berazam merealisasikan impian bergelar pelakon.

“Di Uzbekistan saya pernah terfikir untuk menceburi bidang lakonan tetapi keluarga menghalang.

“Alhamdulillah cita-cita yang saya pendam sejak di bangku sekolah akhirnya tercapai dan keluarga juga sudah boleh terima. Mereka gembira melihat saya aktif sebagai pelakon dan model di Malaysia,” katanya yang sudah lima tahun menetap di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2016 @ 8:19 AM