CERMIN kereta milik mangsa yang dirosakkan sekumpulan lelaki dalam kejadian di Kampung Perlis, Butterworth. FOTO IHSAN PDRM
CERMIN kereta milik mangsa yang dirosakkan sekumpulan lelaki dalam kejadian di Kampung Perlis, Butterworth. FOTO IHSAN PDRM
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Pemandu van kilang putus urat tangan kanan selepas diserang enam individu bersenjatakan parang di hadapan sebuah rumah di Kampung Perlis, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 10.45 pagi itu, keenam-enam penyerang terbabit turut merosakkan empat kenderaan di hadapan rumah mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa berusia 50 tahun mengalami luka pada tapak tangan kanan selepas ditetak menggunakan sebilah parang oleh salah seorang suspek.

"Suspek yang menetak mangsa turut mengalami kecederaan selepas mangsa melibaskan parang milik salah seorang suspek lain yang terjatuh ketika hendak mempertahankan diri.

"Dalam kejadian itu, cermin kereta mangsa dan ahli keluarganya termasuk cermin tingkap rumah dipecahkan oleh keenam-enam suspek," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, insiden pergaduhan itu turut disaksikan orang awam yang menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

"Polis menahan tiga individu berusia 24 hingga 26 tahun di Hospital Seberang Jaya (HSJ) kira-kira jam 11 pagi tadi untuk membantu siasatan.

"Manakala tiga lagi suspek lain yang melarikan diri sejurus kejadian itu kini dalam buruan," katanya.

Difahamkan, motif pergaduhan itu dipercayai akibat perselisihan faham selepas salah seorang suspek menampar muka anak bongsu mangsa.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326, Seksyen 148 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 9:08 PM