AKADEMI 11Street menawarkan kursus berkaitan e-dagang.
AKADEMI 11Street menawarkan kursus berkaitan e-dagang.
Wan Nur Ameera Meor Rozman


11street dengan kerjasama MDEC, Google AdWords dan Facebook melancarkan program akademik e-dagang dengan pensijilan Akademi 11street pertama di Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi 11street Hoseok Kim berkata, inisiatif itu bertujuan memberikan pengetahuan mengenai setiap aspek e-dagang dalam usaha membantu peniaga mengembangkan perniagaan atas talian, memandangkan ramai di antara mereka berminat untuk meneroka dan belajar langkah berkesan untuk berjaya dalam perdagangan elektronik.

“Kami menerima banyak maklum balas positif mengenai latihan perniagaan asas 11street yang juga sesi latihan e-dagang tahap pengenalan yang berlangsung pada tahun lalu. Majoriti peniaga yang pernah mengambil kursus asas ini turut melaporkan kenaikan mendadak keuntungan jualan mereka dari bulan ke bulan.

“Kesannya, mereka sentiasa berkeinginan untuk mendalami pengetahuan segmen e-dagang bagi meneroka peluang baru dengan harapan dapat mengembangkan perniagaan atas talian mereka. Oleh itu, dengan pelancaran Akademi 11street, kami menawarkan pendidikan berkaitan e-dagang bagi mengukuhkan perniagaan lebih ramai peniaga tempatan dengan pengetahuan mendalam, kepakaran serta cara bagi mencapai pertumbuhan yang signifikan dan kejayaan dalam segmen ini,” katanya.

Akademi 11street yang bermula dengan menawarkan program pendidikan berstruktur dengan sukatan pelajaran yang komprehensif bagi memperhebatkan peniaga dengan seni pengetahuan itu menyasarkan untuk membantu sekurang-kurangnya 1,000 peniaga dan usahawan.

“Program ini dijadualkan berlangsung selama 12 bulan dan akan dilanjutkan memandangkan mendapat sambutan menggalakkan. Ini adalah komitmen kami untuk membina ekosistem peniagaan dengan lebih hebat ke arah menyediakan produk dan perkhidmatan terbaik buat pelanggan tempatan.

Tanpa mengenakan sebarang yuran, Program Akademi E-dagang 11street berkenaan dibuka kepada semua usahawan daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), pemilik perniagaan serta individu persendirian yang berusia 18 tahun ke atas.

Peserta diwajibkan untuk menghadiri lima kelas bagi melengkapkan keseluruhan kursus dalam tempoh empat minggu. Bagi menamatkan kursus dengan pensijilan, peserta diwajibkan untuk lulus ujian kelayakan, menyiapkan tugasan diberikan dengan kehadiran kelas minimum yang ditetapkan.

Program pensijilan ini dibuka untuk pendaftaran bermula dari 16 Mei 2016 bagi pendaftar terawal, apabila calon yang disenarai pendek akan dimaklumkan melalui e-mel. Buat mereka yang berminat, sila mendaftarkan di http://bit.ly/registeracademy.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 10:49 AM