PENDATANG asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi. FOTO arkib NSTP
PENDATANG asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi. FOTO arkib NSTP
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melonggarkan syarat penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam 17 sub sektor perkhidmatan yang dibekukan sebelum ini menerusi Program Rehiring.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, sebelum ini, ada beberapa sub sektor dalam bidang perkhidmatan dibekukan tetapi kementerian mengambil keputusan melonggarkan syarat selepas mengadakan perbincangan dengan wakil industri.

"Antara sub sektor berkenaan termasuk pekerja am dipasar, tempat cuci kereta, kedai serbaneka, stesen minyak, perniagaan tekstil, tukang emas, taman tema, dobi, tukang gunting, perniagaan borong dan runcit serta rumah kebajikan.

"Tujuan utama kelonggaran ini diberikan bagi memberi peluang kepada majikan untuk menggaji PATI sedia ada, sekali gus mengurangkan tekanan untuk mencari pekerja lain," katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil industri mengenai pengurusan pekerja asing di KDN hari ini.

Nur Jazlan berkata, dua sub sektor iaitu perniagaan barang lusuh dan pengendalian kargo di lapangan terbang masih dibekukan atas faktor keselamatan.

Selian itu, beliau berkata, peguam negara juga sudah meluluskan permohonan KDN untuk hanya mengenakan kompaun kepada PATI yang masuk ke negara secara haram.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 4:19 PM