TAPAK projek Signature Tower di TRX.
TAPAK projek Signature Tower di TRX.
myMetro

Kuala Lumpur: TRX City Sdn Bhd, pemaju induk bagi projek Tun Razak Exchange (TRX), mempelawa kontraktor untuk menyertai prakelayakan bagi cadangan projek penyebaran trafik dan pembaikan sebahagian Jalan Tun Razak (JTR) serta pembinaan jalan masuk dan jalan keluar TRX.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmar Talib dalam kenyataan berkata, projek itu meliputi pembinaan Jalan Masuk dan Jalan Keluar JTR – TRX (terowong bawah tanah), Jalan Masuk MEX – TRX (jalan bertingkat), Jalan Masuk dan Jalan Keluar SMART – TRX (terowong bawah tanah), penempatan semula perkhidmatan utiliti, kerja landskap, sistem banjir dan kawalan pengurusan trafik.

“Projek TRX sedang giat dibangunkan dan kini beralih ke fasa pembinaan seterusnya. Sistem penyebaran trafik dan pembaikan jalan di kawasan sekitarnya adalah komponen utama untuk memastikan aliran lancar trafik masuk dan keluar TRX,” katanya.

Menurutnya, prakelayakan itu adalah untuk mengenal pasti calon berpotensi bagi peringkat seterusnya tender berkenaan.

“Satu Taklimat Maklumat Projek akan diadakan di TRX Gallery pada 8 Jun dan pemohon yang mahu menyertai tender itu wajib menghadirinya.

“Kontraktor yang menepati kriteria dipelawa menyerahkan dokumen prakelayakan yang lengkap pada 12 tengah hari, 1 Julai ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 7:13 AM