KERJA-KERJA pembinaan Tun Razak Exchange sedang dijalankan. FOTO Zunnur Al Shafiq
KERJA-KERJA pembinaan Tun Razak Exchange sedang dijalankan. FOTO Zunnur Al Shafiq
BERNAMA

SEBAHAGIAN laluan di Jalan Sultan Ismail dan Jalan Barat di sekitar kawasan Imbi akan mengalami beberapa gangguan aliran trafik bermula Sabtu ini berikutan kerja-kerja pembinaan infrastruktur Tun Razak Exchange (TRX).

Naib Presiden Kanan dan Pengurusan Pihak Berkepentingan TRX City Sdn Bhd Mohamed Razib Ahmad Din berkata, ia meliputi susur keluar Jalan Sultan Ismail menuju ke Bulatan Kampung Pandan dan Jalan Tun Razak (arah utara) dan sebahagian daripada Jalan Barat (dua lorong).

“Penutupan sebahagian laluan di Jalan Sultan Ismail akan dilaksanakan secara berterusan, 24 jam sehari selama lebih kurang 14 bulan bermula 11 Ogos sehingga 31 Oktober 2019.

“Manakala penutupan sebahagian Jalan Barat akan dilaksanakan secara berperingkat, 24 jam sehari selama lebih kurang tiga bulan bermula 11 Ogos hingga 18 November,” katanya kepada media dalam sesi penerangan khas di TRX Gallery di Kuala Lumpur, hari ini.

Berikutan penutupan Jalan Sultan Ismail, pengguna jalan raya yang menuju ke pejabat Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART Co) melalui Jalan Sultan Ismail perlu menggunakan laluan khusus yang disediakan untuk kenderaan dengan had ketinggian tidak melebihi 2.0 meter.

Sementara laluan masuk ke terowong SMART boleh diakses melalui Jalan Sultan Ismail dan dibuka seperti biasa.

Mohamed Razib berkata, gangguan aliran trafik kini berlaku memandangkan kerancakan kerja-kerja pembinaan infrastruktur TRX pada masa sekarang.

“Kami menjangkakan fasa pertama pusat kewangan antarabangsa ini yang merangkumi Menara Exchange 106 dan Menara Prudential bakal beroperasi awal tahun depan.

“Untuk itu, demi memastikan kelancaran projek nasional ini dan keselamatan awam, penutupan jalan di beberapa lokasi yang terbabit tidak dapat dielakkan, namun ia dilaksanakan secara sistematik dan terancang,” katanya.

Katanya, beberapa langkah mitigasi akan diambil termasuk melebarkan sebahagian jalan untuk membolehkan pusingan U, menempatkan polis trafik di sepanjang jalan itut dan menghebahkan maklumat terkini melalui aplikasi Waze serta papan tanda elektronik ITIS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 3:43 PM