TIMBALAN Dekan Dr Arif Md Yusof, menerima Piala Naib Canselor disampaikan Musa (dua dari kiri).
TIMBALAN Dekan Dr Arif Md Yusof, menerima Piala Naib Canselor disampaikan Musa (dua dari kiri).
Nurul Husna Mahmud


Petah dan berisi setiap butiran disampaikan bagi menangkis setiap usul lawan selain memberi pengertian amat jelas kepada juri mahupun pendengar mereka.

Seperti wakil rakyat berbahas dalam Dewan Rakyat demi menegakkan usul, baik pencadang mahupun pembangkang perlu bijak mengutarakan idea serta hujah mereka.

Tidak terdorong dengan emosi, disiplin pengucapan awam itu wajar disuburkan dalam setiap peringkat institusi pendidikan bermula dari sekolah hingga ke universiti.

Ini penting untuk melahirkan pendebat berkualiti serta matang yang dimulakan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi Kejohanan Debat Piala Naib Canselor USIM berlangsung baru-baru ini di Fakulti Syariah dan Undang-undang dan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan dengan kerjasama Unit Kepimpinan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar.

Pendebat baik serta matang

Menurut Penasihat Kelab Debat, Mohd Zaini Othman, 28, kredibiliti Kejohanan Debat Piala Naib Canselor USIM tidak dapat dinafikan dalam kalangan komuniti kampus yang meminati pengucapan awam.

“Kelab Debat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjadikan Kejohanan Debat Piala Naib Canselor USIM sebagai medan ‘memburu’ pendebat muda yang berpotensi diketengahkan di peringkat lebih tinggi.

“Menerusi program sebegini pendebat berkualiti baik segi bakat dan kebolehan dapat dikenal pasti. Mereka bermula menerusi pertandingan dalaman universiti dengan potensi dikenal pasti supaya latihan, pendedahan dan kematangan dibina dari awal dan berterusan,” katanya.

Peserta baru menonjol Pengarah Program Abdul Rasydan Mohamad Rusli, 22, berkata paling mencabar adalah mencari topik yang mampu menonjolkan kemampuan pendebat.

“Kejohanan ini menjadi program utama pengucapan awam yang dinantikan setiap tahun warga universiti dari pelbagai fakulti.

“Tiga kategori membabitkan bahasa Melayu daripada 17 pasukan, bahasa Inggeris 17 pasukan dan bahasa Arab 16 pasukan berjaya memukau 500 pengunjung yang hadir sepanjang pertandingan.

“Fakulti Sains dan Teknologi berjaya mempertahankan piala kejuaraan dalam kategori bahasa Melayu yang dimenangi buat kali pertama pada tahun lalu walaupun membariskan pendebat baru.

“Kehebatan pendebat Fakulti Syariah dan Undang-undang dalam kejohanan kali ini amat jelas apabila menjuarai pertandingan debat dalam kategori bahasa Inggeris dan bahasa Arab,” katanya.

Tingkat intelektual

Pertandingan akhir dihadiri Naib Canselor, Datuk Dr Musa Ahmad dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Datuk Dr Hassan Basri Awang memuji peranan dimainkan kelab berkenaan dalam usaha menggilap bakat pendebat baru.

Melalui ucapannya, Musa melihat program dapat memberi impak bukan saja melahirkan pendebat baik malah memberi impak baik terhadap masyarakat.

“Pengucapan awam wadah meningkatkan daya fikir intelektual dan tahap pemikiran kritis di samping membentuk keterampilan dan sahsiah yang tinggi sebagai persiapan kepada mahasiswa dan mahasiswi berhadapan masyarakat.

“Pengucapan awam dapat membantu penyampaian maklumat agar maklumat disampaikan difahami serta meyakinkan pendengar menerima idea yang dilantunkan” katanya.

Johan, naib johan dan pendebat terbaik akhir masing-masing menerima wang tunai RM1000, RM700 dan RM500 bersama sijil penghargaan daripada Naib Canselor USIM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2016 @ 5:02 AM