PENYANYI asal Filipina cari pengalaman di Kuala Lumpur demi kelangsungan hidup.
PENYANYI asal Filipina cari pengalaman di Kuala Lumpur demi kelangsungan hidup.
Nor Akmar Samudin


Minat mendalam dalam bidang seni membawa penyanyi Filipina, Mary Cris Pateno Faustino, 27, ke negara ini untuk mengembangkan bakatnya.

Penyanyi yang mahu dikenali dengan nama Kris Patt itu mula menyanyi secara tidak formal ketika berusia tujuh tahun dan mula serius setahun selepas itu.

Oleh kerana desakan hidup, Kris yang juga anak sulung daripada tiga beradik hanya bersekolah sehingga peringkat sekolah tinggi saja.

“Saya tidak dapat menyambung pelajaran kerana ibu tidak mampu untuk membiayai persekolahan lalu saya mengambil keputusan untuk menumpukan perhatian kepada bidang nyanyian bagi membantu ibu menyara keluarga kami.

“Demi mencari pengalaman dan peluang yang lebih baik saya datang ke Kuala Lumpur dan berpeluang menyanyi di beberapa hotel terkenal di negara ini,”katanya.

Selepas menimba banyak pengalaman di negara ini dan melihatkan perkembangan dunia hiburan tanah air yang kian rancak, Kris berhasrat menghasilkan album.

Impian Kris itu tercapai selepas pihak Melodi United yang menyaksikan persem­bahan Kris di sebuah hotel terkemuka di ibu kota tertarik dengan nyanyian dan persembahannya.

Selepas berbincang mereka menawarkan Kris untuk menghasilkan single pertamanya dan lebih istimewa lagu pertamanya itu dicipta Tam Spider dan liriknya pula diilhamkan penyanyi terkenal Indonesia, Yuka Kharisma.

Gabungan tiga negara Malaysia, Indonesia dan Filipina diharap akan melonjakkan nama Kris di industri muzik negara ini.

“Saya lihat industri muzik Malaysia terbuka menerima kehadiran bakat dari luar dan ini menguatkan lagi keyakinan saya akan diterima penggemar muzik di sini.

“Disebabkan itu juga saya memilih untuk merakamkan single pertama saya dalam bahasa Malaysia kerana sepanjang me­nyanyi di hotel, saya suka menyanyikan lagu Melayu kerana ramai pengunjung terdiri daripada orang Melayu.

“Saya boleh faham ba­hasa Malaysia sedikit-­sedikit kerana ada perkataan dan makna bahasa itu yang hampir sama dengan bahasa Tagalog. Jadi, tidaklah begitu sukar apabila saya mahu merakamkan lagu Melayu.

“Sebab lain saya mahu merakamkan lagu Melayu kerana saya mahu berbeza daripada penyanyi lain. Paling penting saya percaya serta yakin boleh menya­nyikan lagu dalam bahasa itu dengan baik. Ketika rakaman Tam ba­nyak membantu saya untuk menghayati setiap lirik lagu itu agar dapat disampaikan dengan penuh penghayatan,” katanya.

Meminati Dayang Nurfaizah dan Hazami, Kris berazam untuk berusaha dan bekerja keras demi memberikan yang terbaik kepada pendengar dan peminat muzik di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2016 @ 5:01 AM