CUORE Ferragamo serlahkan pergerakan kuarza inovatif yang membuatkan bentuk hati di dalamnya bergetar setiap saat.
CUORE Ferragamo serlahkan pergerakan kuarza inovatif yang membuatkan bentuk hati di dalamnya bergetar setiap saat.

Dulu fungsinya hanya memberitahu masa dengan pergerakan elektronik atau mekanikal. Namun jam tangan era ini lebih kepada manifestasi atau luahan kreativiti si pemakainya.

Bagaimanapun sejak dulu cinta memainkan peranan utama dalam apa jua situasi. Cinta juga sentiasa diangkat sebagai inspirasi dalam menghasilkan koleksi penuh variasi.

Bagi Salvatore Ferragamo, cinta diangkat penuh berseni pada rekaan jam tangan terkininya, dikenali Cuore Ferragamo.

Cuore Ferragamo menggunakan pergerakan kuarza inovatif yang membuatkan bentuk hati di bahagian dalamnya bergetar setiap saat sebagai simbolik kepada getaran cinta.

Seiring populariti jenamanya, Cuore Ferragamo ini tidak ketinggalan menterjemahkan aura elegan pada jam tangan yang turut bertindak sebagai aksesori mewah dan anggun.

Cuore Ferragamo ini juga berusaha menyerlahkan kerja tangan halus dan seni yang dipaparkan pada permukaan jamnya dianggap seperti puisi klasik romantis, lembut serta harmoni.

Jam tangan ini dihiasi 40 tatahan berlian putih dan tidak diletakkan sebarang angka untuk penampilan sofistikated.

Ia dilindungi bekas keluli dan emas yang turut diperincikan dengan lorekan ‘Salvatore Ferragamo’ di bahagian kanan.

Pergerakan kuarza (Soprod 913.04) seterusnya direka sebagai gerakan dimensi yang terhad supaya menepati keperluan jam tangan feminin ini.

Menariknya, Cuore Ferragamo hadir dengan dua pilihan tali iaitu jenis keluli bersama emas dan material kulit yang tahan lama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2016 @ 5:00 AM