Keadaan bas yang terbabit kemalangan di KM130 Lebuhraya PLUS arah selatan berdekatan Sungai Dua, 12.30 tengah malam tadi. FOTO Rosli Ahmad
Keadaan bas yang terbabit kemalangan di KM130 Lebuhraya PLUS arah selatan berdekatan Sungai Dua, 12.30 tengah malam tadi. FOTO Rosli Ahmad
Shamsul Munir Safini

Butterworth: "Saya hanya fikir keselamatan penumpang dan terpaksa gadai nyawa merempuh pembahagi jalan," kata pemandu bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan dengan lori kontena dan kereta di KM130 Lebuhraya PLUS arah selatan berdekatan Sungai Dua, di sini, 12.30 tengah malam tadi.

Mohd Affandi Md Rejab,35, berkata, dia terpaksa menghimpit basnya ke arah pembahagi jalan yang hanya bersebelahan bahu kanannya supaya tempat duduk penumpang di tingkat atas tidak merempuh belakang lori kontena.

Katanya, sebelum kejadian dia memandu di laluan memotong di lebuh raya tiga lorong berkenaan sebelum ternampak lori kontena tiba-tiba masuk ke lorong dilaluinya.

"Lori berkenaan mengelak daripada merempuh sebuah kereta dihadapannya yang berpusing.

"Saya seperti terperangkap apabila lori menghimpit saya dari kiri dan terpaksa mengelak kereta di hadapan saya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, dia tiada pilihan dan terpaksa menghimpit ke arah pembahagi jalan sambil menekan brek.

Affandi berkata, dia bersyukur kerana bas tidak bertembung dengan lori kontena.

Sementara itu, beberapa penumpang bas ekspres berkenaan dirawat di Hospital Seberang Jaya selepas mengadu sesak nafas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2016 @ 2:34 AM