Beijing: China berjanji akan menghentikan amalan kontroversi negara itu menggunakan banduan yang dihukum mati sebagai sumber untuk mendapatkan organ bagi pesakit di negara itu.

Menurut Ketua Jawatankuasa Pendermaan Organ China, Huang Jiefu berkata, negara itu akan menghentikan penggunaan banduan yang dihukum mati sebagai sumber pemindahan organ bermula 1 Januari depan.

Menurutnya, kira-kira 300,000 pesakit di China amat memerlukan pemindahan organ setiap tahun, namun hanya 10,000 berjaya dilaksanakan.

Katanya, hanya 0.6 daripada setiap sejuta rakyat China menderma organ berbanding 37 di Sepanyol.

Permintaan tinggi untuk organ dan kekurangan kronik penderma menyebabkan banduan yang dihukum mati dijadikan sumber utama.

Kumpulan hak asasi antarabangsa menuduh kerajaan China mempergunakan banduan yang dijadualkan dihukum mati tanpa izin anggota keluarga mereka. Dakwaan itu dinafikan pihak berkuasa.

Janji itu bukan baru, malah Beijing sudah banyak kali membuatnya.

Pada 2012, Huang berkata, China akan berhenti bergantung kepada banduan yang dihukum mati dalam tempoh dua tahun.

China melarang penjualan organ manusia pada 2007, namun permintaan menjangkaui bekalan mengakibatkan penjualan di pasaran gelap berleluasa.

Penderma organ tidak ramai di China kerana masyarakat negara itu percaya mereka akan dihidupkan semula dan bimbang jika itu berlaku, mereka tidak mempunyai organ secukupnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 8:12 AM