ZULHELMI (kanan), isterinya, Hasnani Abdul Ghani (tengah) dan chef Shuhaimai Ismail menunjukkan antara menu terbaik Hase Ikan Bakar.
ZULHELMI (kanan), isterinya, Hasnani Abdul Ghani (tengah) dan chef Shuhaimai Ismail menunjukkan antara menu terbaik Hase Ikan Bakar.
ANTARA menu masakan barat yang ada.
ANTARA menu masakan barat yang ada.
Mohd Azam Shah Yaacob


Saat melihat pelbagai menu eksklusif udang kara atau lobster yang ditawarkan, memang kecur air liur dibuatnya.

Mana tidaknya, untuk menu lobster sahaja, terdapat enam pilihan udang yang boleh dipesan secara panas sama ada hidangan masakan Barat atau tempatan.

Paling utama, saat anda tersenyum gembira menikmati menu lobster ini bersama keluarga, anda juga akan tersenyum ketika membayarnya.

Ini kerana, bagi seekor lobster siap masak yang ditawarkan, pelanggan hanya perlu membayar RM25 sepinggan mengikut jenis. Amat murah bagi juadah lobster yang lazimnya mencecah harga ratusan ringgit seekor.

Itu keunikan ditawarkan restoren Hase Ikan Bakar & Lobster (Hase Ikan Bakar) yang terletak di Damansara Damai, Kuala Lumpur ini.

Pemiliknya, Zulhelmi Shari berkata, menu lobster berkenaan kini menjadi menu utama Hase Ikan Bakar dan pihaknya menawarkan enam jenis lobster iaitu Slipper Lobster, Green lobster, Bamboo lobster, Rock lobster, Boston lobster dan lobster gajah.

Katanya, bagi menepati kehendak serta selera pelanggan, menu lobster berkenaan ditawarkan dalam masakan Barat yang kebiasaanya digril serta gaya masakan tempatan.

“Gaya masakan tempatan iaitu lobster masak sambal petai, goreng kunyit, tiga rasa dan masak cili untuk memenuhi selera individu yang tidak sama.

“Harganya pula berbeza dan paling murah sekitar RM25 hingga RM80 sepinggan bagi seekor lobster yang dipesan secara ala carte,” katanya.

Bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan, Hase Ikan Bakar turut menawarkan dua pakej hidangan iaitu pakej bajet dan pakej biasa untuk dua, empat dan enam orang makan.

Pakej bajet ini bermula dari RM35 hingga RM80, manakala pakej biasa pula dari RM110 hingga RM160.

Menerusi pilihan set ini, pelanggan akan mendapat set lengkap lobster bersama tomyam, ikan siakap, nasi serta beberapa lagi set lauk bersama air minuman yang cukup menepati selera serta bajet.

Cukup untuk membuatkan pelanggan yang datang bersama keluarga tersandar kekenyangan serta kepuasan.

Malah, jika anda seorang yang sukakan ketam serta masakan seafood termasuk ikan bakar, Hase Ikan Bakar juga adalah tempat yang tepat.

Di sini, ada disediakan menu masakan ketam seperti Spanner crab, Snow crab dan Alaskan crab yang disediakan secara terhad bergantung kepada bekalan.

Menurut Zulhelmi, sepanjang Ramadan akan datang, pihaknya akan membuka operasi perniagaan setiap hari bermula 6 petang hingga 11 malam. Pelanggan dinasihatkan untuk membuat tempahan awal berikutan bekalan udang serta ketam berkenaan agak terhad.

Puas makan lobster

Puas dan memenuhi cita rasa. Itu komen pelumba basikal kebangsaan, Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi sebaik mencuba menu lobster yang dimasak mengikut stail Barat dan tempatan di Hase Ikan Bakar & Lobster.

Menurut Muhammad Fauzan, kepelbagaian menu lobster yang diolah khususnya mengikut cita rasa tempatan itu menepati seleranya yang memang menjaga pemakanan.

“Ini kali pertama saya makan menu lobster dalam stail masakan tempatan. Terus terang, juadah seperti lobster tiga rasa, masak sambal petai dan masak cili ini cukup enak dan rugi kalau tidak di cuba. Sama seperti masakan stail Barat, rasanya cukup tersendiri dan kena pada lidah.

“Bagi yang suka serta ingin mencuba menu masakan lobster, saya rasa ini tempat terbaik kerana bukan saja harganya berpatutan tetapi pelanggan ada pelbagai jenis pilihan lobster yang boleh disediakan secara panas dan dalam pelbagai jenis menu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2016 @ 5:01 AM