IKA menunjukkan cincin tunangnya.
IKA menunjukkan cincin tunangnya.

Belajar daripada pengalaman lalu, pelakon Ika Nabella mengambil keputusan untuk tidak terlalu berkongsi kisah percintaannya dengan ahli perniagaan, Muhammad Zaid, 29, sehinggalah kedua-dua mereka melangsungkan pertunangan, Sabtu lalu.

Ika, 27, berkata, hanya selepas segala yang dirancang sudah ada kepastian, barulah dia berkongsi perkara itu.

“Sebelum ini saya memang ada memaklumkan bercinta dengan seseorang, tetapi belum bersedia untuk berkongsi lanjut. Ini kerana kami selesa dengan cara sebegitu. Justeru, apabila sudah ada kepastian daripada kedua-dua pihak, baru saya berani membuka cerita,” katanya

“Saya tidak mahu jadi seperti dulu. Apabila terlalu bercerita akhirnya ia tidak menjadi. Alhamdulillah, segala yang dirancang dipermudahkan Allah,” katanya.

Menurut Ika, perancangan untuk mengadakan majlis ini dibuat sejak hujung tahun lalu.

Selepas mengadakan perbincangan, Zaid menghantar rombongan merisik pada April lalu sebelum menetapkan tarikh untuk bertunang.

Berkongsi mengenai persiapan majlis pernikahan yang akan berlangsung Julai ini, pelakon drama Kerana Terpaksa Aku Relakan ini berkata, persiapan sudah siap 70 peratus.

“Insya-Allah majlis nikah akan diadakan di rumah keluarga saya di Pulau Pinang. Buat masa sekarang sudah ada dua tarikh, namun masih belum diputuskan.

“Ikutkan kami mahu terus bernikah, tetapi memandang­kan saya anak sulung dan tunggal perempuan dalam keluarga, jadi ibu dan bapa mahu mengikut adat,” katanya.

Menurut Ika, dia sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab baru sebagai isteri.

Malah, Ika yang pernah menyertai program realiti Akademi Fantasia musim keenam pernah menyatakan hasrat untuk berkahwin ketika berusia 25 tahun.

“Pada usia sekarang, pada saya sudah cukup matang untuk berkahwin. Ikutkan sejak dua tahun lalu lagi saya nak berkahwin, tetapi belum bertemu dengan lelaki yang sesuai.

“Walaupun ketika itu saya dan Zaid sudah berkenalan, hubungan kami masih sekadar kawan biasa. Pada masa sama, kami belum cukup dewasa. Selepas empat tahun, baru kami betul-betul rapat dan serius untuk membawa hubungan ini ke fasa seterusnya,” katanya.

Jadi diri sendiri

Sepanjang lima tahun berkawan, sikap bakal suaminya yang sentiasa terbuka membuatkan dia selesa untuk terus bersama.

“Apabila hubungan bermula dengan kawan, pada saya ia sesuatu yang bagus. Dari situ kita boleh saling mengenali. Ternyata, sepanjang mengenalinya dia sangat telus dan tidak berpura-pura.

“Bukan saja dia, malah saya juga menjadi diri sendiri. Apabila saling mengenali personaliti dan perangai masing-masing, ia mudah untuk membawa hubungan ini lebih jauh,” katanya.

Ika berkata, sikap Zaid yang menunjukkan kesung­guhan dalam hubungan mereka menambahkan lagi keyakinannya terhadap jejaka itu.

“Sejak kami mulai rapat, dia terus berjumpa dengan kedua-dua ibu bapa saya. Malah apabila saya balik kampung, dia mesti menemani dan menghantar saya. Pendek kata, dia berusaha dan pandai mengambil hati orang tua.

“Hubungan kedua-dua keluarga juga sangat baik. Memandangkan kami jenis yang rapat dengan keluarga, jadi ia lebih mudah,” katanya. - Sudirman Mohd Tahir

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2016 @ 1:00 PM