SPESIES tumbuhan yang tergolong dalam keluarga Passifloraceae ini dikatakan berasal dari Mexico dan India Barat.
SPESIES tumbuhan yang tergolong dalam keluarga Passifloraceae ini dikatakan berasal dari Mexico dan India Barat.
HM Digital

Turnera ulmifolia atau lebih dikenali dengan nama bunga lidah kucing adalah spesies tumbuhan yang tergolong dalam keluarga Passifloraceae.

Pokok bunga dipercayai berasal dari Mexico dan India Barat ini mendapat nama sempena ‘Bapa Botani Inggeris’ iaitu ahli ornitologi dan botani William Turner.

Pokok yang bersifat renek, tahan kering, lebat dan tahan lama ini dikatakan mampu mencapai ketinggian sekitar 60 sentimeter.

Menariknya, pokok yang menghasilkan bunga berwarna kuning-oren terang ini turut mempunyai kebaikan untuk kesihatan badan.

Daunnya yang berwarna hijau gelap itu dipercayai dapat membantu mengubati penyakit jantung, gastrik dan selesema.

Bunga Turnera adalah sejenis tanaman yang serasi dengan sebarang keadaan mahupun berbeza tanah.

Kunci utama untuk memastikan ia dapat tumbuh dan hidup subur adalah melalui sistem aliran air yang baik.

Tanaman ini sesuai diletakkan di bawah matahari, tempat berteduh atau berdekatan kawasan air selain boleh disiram dengan air ph berbeza.

Pokok ini perlu ditanam dengan jarak setiap satu 0.45 meter sekiranya ingin menampilkan kesan rimbun atau tanam secara tunggal dengan jarak 0.6 hingga 0.9 meter.

Pastikan baja yang diletak pada pokok tidak terkena pada bahagian daun kerana ia berupaya menyebabkan daun panas dan terbakar.

Siram air pada baja berkenaan bagi memastikan ia dapat larut ke dalam tanah.

Pokok bunga Turnera tidak memerlukan pemang–kasan untuk berbunga atau berkembang, tapi ia kelihatan lebih lebat dan menarik sekiranya dipangkas.

Tanaman bunga ini juga boleh berpenyakit dan terkena masalah perosak seperti ulat pelombong daun (leafminer) yang akan memakan dan menembusi daun pokok.

Kebiasaannya, masalah itu tidak berpanjangan dan hanya menyebabkan rupa bentuk pokok tidak menarik jadi, buang bahagian daun yang rosak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 10:46 AM